Penduduk desak baiki rumah retak
Utusan Malaysia 4/1/2005
KAJANG 3 Jan. - 'Retak menunggu belah', itulah gambaran yang tepat
bagi menggambarkan kebimbangan yang dirasai penduduk di Taman
Bukit Mewah terhadap masalah keretakan rumah mereka yang semakin
teruk sejak kebelakangan ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiga buah rumah di Jalan 21
dan beberapa rumah lain di situ mengalami keretakan yang teruk
sehingga
menyebabkan pemiliknya terpaksa berpindah ke tempat lain.
Justeru itu, penduduk mendesak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
bertindak segera bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak
diingini
berlaku pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Keretakan Rumah di Taman
Bukit Mewah, Shamuganathan, 47, berkata, sejak tinggal di situ sejak
1990
lalu, tiada tanda-tanda menunjukkan rumah tersebut akan mengalami
masalah
sehingga boleh mengancam keselamatan penghuni.
"Masalah keretakan ini bermula secara perlahan-lahan pada tahun
1994. Ia
berlarutan menjadi semakin teruk pada tahun 1999 dan memaksa kami
sekeluarga
untuk berpindah ke tempat lain.
Jirannya, See Ban Lye, 37, berkata, dia kecewa dengan sikap pihak
berkuasa
yang nampaknya tidak menghiraukan masalah mereka yang terpaksa
menghadapinya
dalam tempoh yang terlalu lama.
"Sejak masalah keretakan rumah ini mula dikesan, kami di dalam
jawatan kuasa
bertindak telah menghantar surat kepada MPKj, Jabatan Perdana
Menteri, Menteri
Besar Selangor dan pemaju perumahan.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada maklum balas dari pihak
berkenaan bagi
menyelesaikan masalah ini yang semakin teruk dari semasa ke semasa,"
katanya.
Seorang lagi penduduk, Ng Kok Cheong, 55, berkata, dia merasa sangat
kecewa
kerana terpaksa berpindah ke tempat lain.
"Saya kehilangan banyak wang akibat perbuatan pihak terlibat yang
terlalu lambat
bertindak.
"Bayangkan, sehingga hari ini sebanyak tujuh rumah sudah mengalami
keretakan
teruk dan adalah sesuatu yang tidak mustahil masalah berkenaan akan
dialami
penduduk yang lain di Taman Bukit Mewah," katanya.
Amir Rosli, 46, berkata, dia mahu pihak berkuasa segera
menyelesaikan masalah
keretakan ini kerana ia boleh membahayakan keselamatan semua
penduduk di taman
perumahan itu.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu prihatin dengan masalah yang
dihadapi penduduk
di sini dan jangan hanya menangguhkan kerjakerja membaik pulih
rumah tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata,
beliau hairan
dengan MPKj yang masih belum dapat menyelesaikan masalah tersebut
walaupun ia
berlaku sejak tahun 1990 lagi.
Untuk itu, Pian Hon berkata akan mendesak MPKj untuk merumuskan satu
jalan
penyelesaian terbaik demi kebaikan penduduk terlibat.
Menurutnya, MPKj menerusi Jabatan Kejuruteraan telah mencadangkan
agar semua
rumah dirobohkan dan dibina semula bagi menyelesai masalah tersebut.
"Bagaimanapun, persoalannya siapa yang akan membiayai segala kos
meroboh dan
membina semula rumah-rumah berkenaan.
Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama membabitkan MPKj,
pemaju
perumahan, wakil penduduk dan beberapa pihak lain pada masa yang
terdekat ini
untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
|