This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli kecewa pemaju berdolak-dalik
Utusan Malaysia 11/1/2005

KUALA SELANGOR 10 Jan. - Para pembeli projek perumahan baru, Bandar Alam Perdana yang terbengkalai lebih dua tahun lalu kecewa dengan sikap berdolak-dalik pemaju untuk menyiapkan projek tersebut dengan segera.

Melalui perjanjian asal, pembeli sepatutnya sudah boleh berpindah ke taman berkenaan sejak 2002 lagi tetapi kegagalan pemaju menyiapkan sepenuhnya taman tersebut membantutkan hasrat mereka untuk berbuat demikian.

Memburukkan lagi keadaan, sesetengah rumah teres dua tingkat kos sederhana di fasa kedua Bandar Alam Perdana itu didapati retak dan mendap.

Mereka juga menderita kerana terpaksa menanggung bayaran pinjaman projek perumahan itu antara RM900 hingga RM1,100 sebulan sedangkan dalam masa yang sama juga terpaksa membayar sewa rumah sedia ada.

Salah seorang pembeli, Saharom Abdul Aziz, 38, berkata, dia sudah lama bersabar dengan alasan pemaju dan berharap kerajaan negeri turut campur tangan bagi menanganinya.

"Saya membeli rumah ini pada 2001 dan mereka (pemaju) kata ia akan disiapkan pada penghujung 2002 tetapi mereka gagal berbuat demikian.

"Bila ditanya mereka kata akan siap April 2004 tetapi sehingga kini ia masih belum dapat disiapkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Saharom juga kesal dengan sikap wakil rakyat di kawasan itu yang masih belum melakukan sebarang tindakan walaupun sudah ditemui berhubung perkara yang sama.

Bagi Normi Hassan, 31, harapannya untuk menduduki rumah sendiri sejak 2002 juga masih belum kesampaian gara-gara kegagalan pemaju menyiapkan projek seperti yang dijadualkan.

"Kami membeli rumah ini apabila ia sudah 70 peratus siap pada 2001 dan pada mulanya yakin 30 peratus akan siap pada 2002 tetapi hingga kini ia masih belum selesai.

"Saya rasa tertipu," tegasnya sambil menambah alasan pemaju mengenai ketiadaan tenaga pekerja menjadi punca kelewatan projek berkenaan tidak boleh diterima.

Normi bersama suami, ZuIkifli Che Shukri, 31, kini menyewa di Kota Damansara sejak dua tahun lepas.

Seorang lagi pembeli, Mohd. Din Dollah, 34, pula berkata, dia kini mengalami masalah kewangan setiap bulan kerana terpaksa menanggung pinjaman bank dan rumah sewa serentak sejak dua tahun lalu.

"Saya bekerja kerajaan dan membayar dua rumah sekali gus cukup membebankan dan rasa tidak adil," katanya.

Nor Hasmadi Isa, 40, pula berkata, dia membeli rumah berkenaan sejak 2000 lagi dengan harga RM138, 000 tetapi sehingga kini masih 'kempunan' kerana belum merasa duduk di rumah sendiri.

"Pemaju perlu memikirkan nasib kami sebagai pembeli yang benar-benar berharap untuk memiliki rumah sendiri," jelasnya.

Bagi pemilik rumah rasa kedua di Taman Bandar Alam Perdana, Majdan Yahaya, 38, pula juga mahu pemaju memastikan keretakan dan tanah mendap di rumahnya dapat diatasi.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.