This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju rumah jual tapak kosong
 29/1/2005 Berita HarianOleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Hasrat memiliki rumah sendiri sebagai tempat berteduh memang menjadi idaman setiap orang kerana walaupun kecil, ia adalah asas membina keluarga bahagia dan masa depan lebih gemilang.

Bagaimanapun, jika rumah dibeli itu belum siap, apatah lagi jika rangka dan tiangnya pun belum berdiri, maka impian itu pasti tidak kesampaian sebaliknya pembeli diselubungi rasa kecewa yang teramat sangat.

Keadaan itu dialami pembeli Projek Taman Rasah Indah yang dimulakan sejak 2001 mengandungi kira-kira 300 unit rumah teres kos rendah, sederhana dan banglo berharga antara RM35,000 hingga lebih RM300,000.

Pembeli Melayu, Cina, dan India yang kebanyakannya kakitangan kerajaan, swasta serta persendirian.

Jurucakap pembeli taman itu, Anuar Mohamad, 33, berkata pembeli kecewa kerana rumah yang menjadi idaman dan dibeli sejak 2001 sehingga kini tidak dilaksanakan oleh pemaju.

Beliau berkata, pembeli tidak puas hati terhadap pemaju taman itu Bandar Cipta Sdn Bhd yang beralamat di Rasah Seremban, kerana sudah lebih tiga tahun projek itu tidak dimulakan.

Katanya, ada kalangan pembeli terbabit sudah membuat pembayaran kepada pemaju sehingga RM100,000 dan juga membuat pemotongan dengan institusi kewangan.

"Pembeli bukan saja terpaksa membayar ansuran bulanan kepada bank, malah dalam masa sama membayar sewa rumah.

"Pembeli pernah menyuarakan masalah kepada pemaju tetapi tidak mengendahkannya, sebaliknya memberi alasan ketiadaan tenaga kerja untuk melaksanakan projek itu," katanya yang sudah membuat pembayaran sebanyak RM60,000.

Anuar berkata, pihaknya sudah mengadu hal itu kepada unit perumahan dan kerajaan tempatan negeri di sini, tetapi tiada tindakan positif diambil malah pembeli diberitahu bahawa tanah tapak projek itu masih berstatus pertanian.

Beliau berkata, , pemaju terbabit juga dikatakan tidak memiliki lesen pemaju perumahan seperti yang disyaratkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Nama syarikat asal juga sudah bertukar dengan nama lain yang mungkin bertujuan untuk menipu orang ramai.

"Nombor telefonnya juga sudah tiada dalam perkhidmatan sehingga menyukarkan pembeli untuk menghubungi kerana tidak semua pembeli rumah di situ berasal dari sini," katanya.

Berikutan keadaan itu, Anuar sudah memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Seremban untuk perbicaraan dan beberapa pembeli lain dijangka akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat.

"Saya berharap kerajaan dapat campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu dengan menggesa pemaju terbabit meneruskan projek itu demi kepentingan pembeli.

"Sudah sampai masanya pihak berkuasa memberi perhatian serius mengenai perkara ini kerana yang menjadi mangsa adalah pembeli akibat pemaju yang cuba sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan perniagaannya," katanya.

Tinjauan Sentral ke lokasi, mendapati kawasan projek seluas 40 hektar sudah dipenuhi semak samun dan ada sebuah rumah contoh di tengah tapak berkenaan. Versi Digital

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.