Dua taman perumahan tiada CF
Berita Harian 26/1/05 Oleh Mohd Amin Jalil
SEREMBAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menyiasat dan mengenal
pasti masalah dua taman perumahan di Sikamat, dekat sini, yang didakwa
tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF) walaupun penduduk sudah mendiami
taman itu lebih 10 tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Datuk Mohd Yusof Harmain Shah,
berkata, dua taman terbabit ialah Taman Desa Rhu yang mempunyai kira-kira
500 unit rumah dan Taman Pelangi lebih daripada 350 unit rumah.
Beliau berasa hairan bagaimana keadaan itu berlaku sedangkan projek
perumahan berkenaan sudah lama disiapkan dan memiliki kemudahan asas
seperti elektrik dan air.
“Saya mempersoalkan kenapa keadaan ini berlaku, adakah rumit untuk
menyelesaikan masalah CF ini hinggakan ia terpaksa mengambil masa lama
untuk diselesaikan.
“Saya khuatir jika masalah ini tidak diselesaikan akan menjejaskan
keselamatan penghuni rumah terbabit jika berlaku sebarang kejadian yang
tidak diingini seperti kebakaran rumah itu,” katanya ketika ditemui di
pejabatnya di sini, semalam.
Mohd Yusof berkata, pihaknya kesal kerana masalah seperti itu boleh
berlarutan begitu lama seolah-olah pihak yang berkaitan lepas tangan
sedangkan perkara itu menjadi hak kepada setiap pembeli rumah.
Katanya, beliau sudah mengemukakan permasalahan itu kepada Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Woo Ah Lek
serta Unit Perumahan Kerajaan Negeri.
Beliau mencadangkan pihak yang terbabit dalam meluluskan sesuatu projek
perumahan baru diminta bersikap lebih telus dengan memastikan mana-mana
kontraktor yang gagal menyiapkan projek dengan sempurna disekat daripada
membuat projek baru.
Katanya, pihak terbabit perlu pastikan kontraktor itu menyiapkan dulu
projeknya sebelum diberi peluang memulakan projek lain.
“Tindakan seperti ini diyakini akan dapat memastikan kontraktor terbabit
melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan tidak timbul masalah
kepada pembeli rumah di kemudian hari.
“Saya amat berharap masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin demi
kepentingan pembeli rumah di taman terbabit,” katanya.