This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

194 pembeli kecewa rumah tiada pintu
Berita Harian 17/1/2005

ALOR GAJAH: Kira-kira 194 pembeli rumah Bidara Palma, dekat sini, yang sepatutnya menerima kunci rumah kelmarin, terperanjat apabila mendapati rumah yang akan diserahkan kepada mereka tidak mempunyai pintu.

Kebanyakan pembeli yang be rkumpul di hadapan pejabat pemaju, Sepadan Tegas Sdn Bhd (Sepadan Tegas) dari awal pagi selepas projek rumah itu tertangguh sejak 2003, nyata kecewa kerana masih tidak mendapat kunci rumah seperti dijanjikan.

Pembeli, Hisham Abdul Majid, 35, berkata beliau hanya dimaklumkan kontraktor perumahan itu bahawa pemaju tidak membuat bayaran kepada mereka sehingga rumah itu gagal disiapkan.

"Bagaimanapun, wakil kontraktor memaklumkan kepada kami masalah dengan pemaju sudah diselesaikan dan pemaju berjanji membuat bayaran dalam tempoh seminggu.

"Jika bayaran dibuat, baru kontraktor memasang semula pintu rumah kami," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Hisham berkata, dua kumpulan pembeli sudah menandatangani perjanjian jual beli rumah pada 2000 dan 2001, manakala rumah mereka dijangka siap pada 2002 dan 2003.

Katanya, sehingga kini, beliau membuat potongan gaji bagi bayaran rumah RM350 sebulan, sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun, katanya, pada 13 Januari lalu, beliau menerima surat daripada pemaju meminta mengambil kunci dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat dikeluarkan pada 2 Januari lalu.

Belia berkata, apa yang dikesalkan, sehingga kini rumah yang dibeli itu belum mendapat sijil layak menduduki (CF) selain pemaju hanya bersetuju membayar bayaran kelewatan antara RM500 hingga RM700 kepada setiap pembeli ketika pemberian kunci rumah.

"Jumlah itu terlalu sedikit sedangkan mereka sebelum ini bersetuju membayar 10 peratus daripada harga rumah selain mengambil kira kerugian kami kerana menyewa," katanya.

Sebanyak 614 unit rumah berharga antara RM35,000 hingga RM270,000 dibangunkan dalam Projek Perumahan Bidara Palma membabitkan 100 unit rumah kos rendah, kos sederhana (478 ) dan banglo (36).

Sebanyak 194 unit rumah disiapkan dalam fasa satu selain 333 unit dalam pembinaan fasa seterusnya manakala 80 unit rumah lain belum dibuka untuk jualan.

Sementara itu, Pengurus Sepadan Tegas, Ahmad Norazril Abdul Aziz, berkata semua rumah fasa pertama berjaya disiapkan pada 15 Januari lalu, walaupun agak daripada tarikh asal pada 2003.

Beliau berkata, bekalan elektrik dan air juga sudah disambungkan ke setiap rumah. "Kita akui ada masalah antara kita dengan kontraktor menyebabkan rumah itu bagaikan tidak siap. Tetapi rumah dalam fasa pertama sudah siap manakala kita dalam proses mendapat CF.

"Namun, kita sudah mengadakan perbincangan dan meminta tempoh seminggu bagi menyelesaikan masalah dengan kontraktor.

"Kita akan cuba memberi kunci pada 24 Januari ini seperti yang diminta pembeli," katanya di pejabatnya, di sini.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.