This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

10 tahun dinding retak
Harian Metro 25/1/05 Oleh Halimah Nurzainah Rusmani

KAJANG: Keselamatan penghuni 28 rumah di sepanjang Jalan 5, Taman Tenaga, di sini terancam berikutan masalah keretakan dinding dikesan sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan, penduduk terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri membaiki kerosakan itu selepas aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) tidak mendapat reaksi sewajarnya.

Penduduk mendakwa MPKj pernah membuat tinjauan di kawasan terbabit tahun lalu dan mengambil gambar kawasan, tetapi tidak ada sebarang tindakan susulan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kerosakan pada rumah berbentuk keretakan pada dinding bilik di bahagian belakang rumah, bilik mandi dan beberapa tempat di sekitar kediaman mereka.

Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, turut terkejut dengan keadaan rumah terbabit dan menyifatkan amat berbahaya jika tidak ditangani segera.

“Keadaan keretakan di beberapa rumah di kawasan perumahan ini serius kerana saya khuatir akan menjejaskan struktur binaan rumah dan sudah tentu tidak selamat diduduki. Ia cukup menakutkan dan berbahaya kepada penghuni,” katanya.

Yap berkata, beliau percaya masalah keretakan itu berpunca daripada mendapan tanah di tapak perumahan di situ.

Yap berharap MPKj dapat memaklumkan kepada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) mengenai masalah itu dan sekali gus menjalankan siasatan secepat mungkin bagi mendapatkan jalan penyelesaian.

Ketua Penaja Umno cawangan Taman Tenaga, Ahmad Mohd Daud, berkata aduan sudah diajukan kepada MPKj Ogos tahun lalu, menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Amran Kasimin.

“Kami juga sudah memaklumkan kepada syarikat pemaju perumahan terbabit, Selfin Sdn Bhd tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Penduduk Taman Tenaga, Mohd Arifin Semail, berkata dia bimbang keselamatan penduduk yang mengalami masalah keretakan rumah itu.

“Saya sekeluarga dapat merasakan gegaran terutama ketika kenderaan besar seperti bas melintasi di bahagian belakang rumah saya,” katanya yang sudah 11 tahun menetap di situ.

Ahli Jawatankuasa Surau As-Syakirin, Taman Tenaga, Abdul Raheem Mohd Yusof, berkata dia turut mengutarakan kebimbangan penduduk terhadap masalah keretakan rumah Taman Tenaga.

“Setakat ini, rumah saya tidak mengalami sebarang keretakan, namun saya ada mendengar rintihan beberapa jiran yang tidak dapat tidur lena kerana bimbang keadaan keselamatan mereka yang seolah-olah struktur binaan dinding sudah tidak selamat lagi,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan itu Ahli Majlis MPKj , Datuk Mohd Zaidi Md Zain.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.