RM200j majukan Bayan Bay
07/10/2005 Utusan
PETALING JAYA 6 Okt. - Pemaju hartanah, Kumpulan CP, telah melaburkan
sebanyak RM200 juta bagi membangunkan semula projek Bayan Bay di Pulau
Pinang yang terbengkalai semasa krisis ekonomi tahun 1998.
Projek yang sebelum ini dimajukan oleh Bayan Bay Development Sdn. Bhd (BBD)
diteruskan pembinaannya dengan nama baru, Queensbay.
Queensbay, projek seluas 73 hektar yang terletak di pesisir pantai
bertentangan Pulau Jerjak di Pulau Pinang merangkumi kawasan perniagaan,
kompleks membeli-belah dan kediaman mewah.
Pengerusi Kumpulan CP, Tan Chew Piau berkata, Kumpulan CP memeterai
perjanjian mengambil alih Bayan Bay pada Julai 2003 kerana lokasinya yang
strategik.
``Selain lokasi, saya yakin rakyat Pulau Pinang sendiri inginkan gaya hidup
berkualiti tinggi melalui kawasan kejiranan yang serba lengkap.
``Saya juga yakin dengan prospek ekonomi Pulau Pinang untuk jangka masa
panjang,'' katanya selepas majlis pelancaran Queensbay Mall di Hotel Eastin
di sini hari ini.
Pada majlis yang sama, Kumpulan CP yang diwakili anak syarikatnya, CP Mall
Sdn. Bhd. turut menandatangani perjanjian dengan pemilik pasar raya Jusco,
AEON Co. (M) Bhd.
Pasar raya Jusco akan menjadi penyewa utama Queensbay Mall dengan keluasan
melebihi 22,950 meter persegi.
Turut hadir menyaksikan upacara itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan
Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Projek Queensbay dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2007 manakala pusat
beli belah itu akan mula beroperasi pada akhir tahun depan.
|