This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli rumah mangsa kecuaian
20/10/2005 Berita Harian

AGAK mengejutkan apabila sebuah kawasan perumahan yang dikenali sebagai Kota Malim Prima,
berdekatan kilang Proton Tanjung Malim, Perak, dibina dalam zon penampan sebuah kuari.

Keadaan itu menyebabkan pembeli yang tidak tahu kedudukan rumah mereka yang berada di zon
penampan itu kini mula rasa tertekan, malah mereka hairan bagaimana projek terbabit boleh diluluskan kerajaan negeri.

Penulis tidak pasti di mana silapnya, tetapi yang tertipu ialah pembeli rumah projek itu kerana ketika
membelinya mereka tidak mengetahui rumah itu terletak di sebelah kuari, malah jauh sekali mengetahui kawasan itu zon penampan.

Seorang penduduk, Shahrul Azlan Mohamed Nor, 35, mendakwa pemaju tidak memberitahu rumah
teres setingkat dibelinya pada harga RM86,000 itu bersebelahan kuari ketika membelinya tahun lalu.

“Ketika berurusan di pejabat jualan, pemaju langsung tidak menyebut mengenai kuari. Akhir tahun lalu, ketika pertama kali melihat rumah dibina, saya terkejut apabila mendapati ada kuari, malah rumah saya terlalu hampir dengan kuari itu.

“Saya berasa pelik bagaimana projek ini boleh dibina. Kami juga tidak tahu kawasan ini dalam zon
penampan sehinggalah hari ini. Jika mengetahuinya, saya tidak akan membeli rumah ini,” katanya.

Shahrul Azlan berkata, operasi utama meletupkan batu kapur dilakukan dua atau tiga kali sebulan,
yang menyebabkan siling dan bumbung rumah bergegar hingga timbul kebimbangan sejak mereka
memasuki rumah itu, Jun lalu.

Penulis difahamkan, projek perumahan terbabit dimajukan syarikat Kota Malim Sdn Bhd (sebelum ini Bernam Industrial Estate Sdn Bhd) yang kini diduduki selepas mendapat Sijil Layak Menduduki (CFO) awal tahun ini, tetapi malangnya ada rumah mengalami keretakan kerana gegaran letupan operasi kuari.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abu Hassan Mohd Isa, yang diminta menjelaskan kemelut itu mengesahkan kira-kira lapan hektar kawasan zon penampan kuari berkenaan sudah didirikan rumah, malah pihaknya sudah meninjau kawasan itu selepas menerima aduan penduduk, baru-baru ini.

Operasi kuari sudah lama wujud dan JAS dalam piawaiannya berhubung pembukaan kuari itu sebelum ini menetapkan 200 meter kawasan sekeliling dari pagar kuari sebagai zon penampan bagi mengelak masalah pencemaran terutama habuk. JAS tidak mengetahui pembangunan kawasan berkenaan sehinggalah menerima aduan.

Kini pembeli rumah dan pengusaha kuari menjadi mangsa kealpaan pihak berkuasa. Kepincangan
yang berlaku seperti mempersendakan ketegasan kerajaan negeri dalam menguatkuasakan peraturan sedia ada.

Kita tidak mahu pembeli menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu dan pada masa sama kita tidak mahu kerana kecuaian itu menyebabkan kuari wujud lebih awal yang membabitkan pelaburan berjuta ringgit terpaksa berpindah ke tempat lain.

Jika keadaan ini berterusan, penulis percaya tidak akan ada pelabur yang bersedia melabur dalam sektor itu di negeri ini kerana bimbang menanggung rugi kerana wujud kepincangan dalam industri itu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.