Projek terbengkalai 20 tahun
selesai
Berita Harian 17/9/2004
SEREMBAN: Kerajaan negeri memberi jaminan masalah perumahan
terbengkalai
hampir 20 tahun di Taman Marida Senawang, dekat sini, akan
diselesaikan
secepat mungkin selepas memperoleh maklumat lengkap mengenainya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk
Woo
Ah Lek, berkata masalah itu sememangnya dalam pengetahuan kerajaan
negeri
dan sedang menunggu laporan daripada pihak Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan.
"Masalah perumahan terbengkalai bukan saja membabitkan taman itu
saja
malah beberapa kawasan lain di negeri ini turut mengalami masalah
yang
sama.
"Kita sedang berusaha untuk mengambil tindakan, bagaimanapun ini
membabitkan beberapa masalah lain terutama berkaitan kedudukan tanah,
pemaju dan pembeli.
"Tambahan pula ada sesuatu projek perumahan itu terbengkalai terlalu
lama," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai rungutan penduduk Taman Marida
seperti
yang disiarkan akhbar ini yang meminta kerajaan bertindak
membersihkan
atau membaik pulih perumahan terbengkalai di situ yang dikhuatiri
boleh
menyumbang kepada kejadian jenayah.
Sementara itu, jurucakap Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri,
berkata setakat ini terdapat 52 projek perumahan kediaman
membabitkan
kira-kira 3,000 unit rumah terbengkalai di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang mengenal pasti kedudukan projek
terbabit
dan permasalahan yang dihadapi untuk mengatasinya.
"Usaha menyelesaikannya mungkin mengambil masa sedikit kerana
terdapat
beberapa pemaju terbabit yang tidak dapat dikesan, selain
pengurusannya
atau lembaga pengarah syarikat itu sudah bertukar ganti.
"Kita sedang berusaha mengumpulkan maklumat lengkap semua projek
terbabit, termasuk berpandukan aduan pembeli untuk mengatasinya,"
katanya. |