Projek perintis
berkonsep `bina dahulu, jual kemudian' turut terbengkalai
Utusan Malaysia 6/9/2004
MELAKA 5 Sept. - Projek perintis Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) berkonsepkan `bina dahulu, jual
kemudian' yang membabitkan perumahan rumah kos rendah jenis town
house di kawasan Limbungan, Klebang di sini, terbengkalai sejak awal
tahun ini.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini di tapak pembinaan projek itu
mendapati ia tidak ubah seperti projek perumahan lain yang
terbengkalai.
Kenyataan pada papan pemberitahuan projek itu di pintu masuk tapak
projek tersebut, menyatakan cadangan membina 676 unit rumah kos
rendah jenis town house dua tingkat, 114 unit rumah teres kos rendah
setingkat dan 59 unit rumah kedai di tanah kerajaan negeri mukim
Klebang Kecil (Limbungan).
Bagaimanapun, tinjauan mendapati, hanya sebahagian bangunan rumah
kedai dan beberapa buah rumah jenis town house dibina oleh
kontraktor projek yang dilihat masih tidak lengkap dan agak usang.
Utusan Malaysia difahamkan projek itu mula dibina pada pertengahan
tahun lalu, tetapi ditinggalkan oleh kontraktor sejak awal tahun ini
kerana masalah kewangan.
``Cuma beberapa minggu lalu, kami dengar ada sebuah syarikat
kontraktor perumahan dari Negeri Sembilan telah mengambil alih
pelaksanaan projek ini, tetapi sehingga kini keadaan masih sama
kerja-kerja pembinaan masih terbengkalai,'' menurut salah seorang
penduduk berhampiran.
Konsep pembinaan perumahan town house Klebang itu dianggap lebih
baik daripada Formula 10:90 yang disarankan oleh Agensi Penarafan
Malaysia (RAM) kerana pembeli tidak perlu membayar 10 peratus wang
pendahuluan sebaliknya hanya dikenakan bayaran tempahan yang minimum
iaitu RM500.
Utusan Malaysia membuat tinjauan ke tapak pembinaan projek perintis
SPNB itu ekoran kenyataan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Tengku
Adnan Tengku Mansor yang menyatakan projek tersebut sudah bermula
lapan bulan lalu dan yang pertama di bawah konsep tersebut.
Malah, SPNB merancang akan mengamalkan konsep pembinaan yang sama
dalam projek-projeknya pada masa akan datang. |