This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pinda Akta Perumahan bolehkan pembeli pantau
 25/09/2004 Utusan

PULAU PINANG 24 Sept. - Kerajaan negeri mencadangkan supaya Akta Perumahan dipinda bagi membolehkan pembeli rumah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau perkembangan pelaksanaan projek rumah yang dibeli.

Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, akta berkenaan perlu dipinda bagi memasukkan peruntukan tersebut kerana penubuhan jawatankuasa itu akan membuka ruang perbincangan antara pembeli dan pemaju jika wujud sebarang masalah.

Menurut beliau, jawatankuasa itu juga berpeluang mengadakan rundingan dengan syarikat pemaju jika wujud sebarang ketidakpuasan hati pembeli termasuk tahap keselamatan struktur bangunan ketika projek disiapkan.

``Jawatankuasa itu dapat memastikan masalah yang wujud dari semasa ke semasa diselesaikan secepat mungkin sekali gus mengelakkan berlakunya projek terbengkalai,'' ujar beliau pada sidang akhbar di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Relau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Hartanah dan Kelengkapan Rumah 2004 anjuran Star Publications (Malaysia) Berhad yang disertai lebih 100 syarikat hartanah dan institusi kewangan yang berlangsung sehingga Ahad ini.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pameran hartanah dan barangan kelengkapan rumah dengan harga tawaran serta acara lelongan hartanah termasuk rumah pangsa, kondominium dan hartanah komersial.

Tsu Koon berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga perlu bersikap lebih tegas ketika menyiasat kes-kes projek perumahan terbengkalai.

Menurut beliau, siasatan yang dijalankan itu perlu lebih menyeluruh jika terdapat aduan berlaku penyelewengan prosedur sehingga projek-projek berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan.

Katanya, antara tindakan yang boleh diambil pada peringkat awal ialah bersikap teliti dalam meluluskan pembinaan sesuatu projek perumahan kerana tindakan itu dapat mengurangkan bilangan projek terbengkalai.

Tsu Koon berkata, kegagalan pemaju menyiapkan sesuatu projek dalam tempoh ditetapkan telah memberi kerugian kepada pembeli.

Ujarnya, Pulau Pinang belajar daripada pengalaman melalui projek perumahan di Majestic Heights di Paya Terubong yang sebahagiannya masih terbengkalai dan memberi kesan kepada hampir 4,000 pembeli.

Menurut beliau, kes seperti itu perlu ditangani lebih serius kerana difahamkan pihak terlibat dalam projek Majestic Heights hanya didenda dengan jumlah yang sedikit.

``Denda yang sedikit tidak memadai kerana perbuatan pemaju gagal menyiapkan projek boleh disifatkan sama dengan jenayah pecah amanah,'' ujar beliau.
 
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.