Penduduk minta
pintu masuk baru
Berita Harian 20/9/2004
SHAH ALAM: Penduduk Kota Kemuning meminta pemaju perumahan Paramount
mencari alternatif lain bagi membina pintu masuk ke projek
perumahannya kerana ia menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan
penduduk terbabit.
Presiden Persatuan
Penduduk Kota Kemuning, Mohd Siraj Abdul Razack, berkata pihaknya
bimbang pintu masuk itu yang akan dibina di laluan utama Kota
Kemuning akan menjejaskan keadaan lalu lintas di kawasan itu sekali
gus membahayakan penduduk.
Beliau berkata, kenderaan dari Lebuhraya Kesas
yang hendak ke projek perumahan Paramount itu perlu memperlahankan
kenderaan dan ini akan menyebabkan kemalangan.
"Paramount dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
perlu menangani perkara ini dengan memberi keutamaan kepada aspek
keselamatan penduduk sekitar.
Setakat ini, sebanyak 22 kemalangan jalan raya
dengan dua kematian sudah berlaku di laluan itu. Kita tidak mahu
angka ini meningkat.
"Kita tidak menentang projek perumahan ini tetapi
kami tidak berpuas hati dengan sikap pemaju yang tidak memikirkan
kebajikan penduduk sekitar," katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, pihaknya difahamkan ada dua jalan
alternatif yang diluluskan ke projek perumahan Paramount iaitu
melalui Taman Seri Muda dan jalan belakang Kota Kemuning.
Mohd Siraj berkata, laluan itu adalah pilihan
terbaik kerana ia tidak membahayakan pengguna jalan raya.
Selain aspek keselamatan, katanya, pembinaan pintu
masuk itu juga akan menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama di
bulatan pertama.
"Kami akan mendapatkan khidmat perunding bagi
menjalankan kajian lalu lintas. Peningkatan kenderaan di kawasan ini
akan menyebabkan penduduk berhadapan masalah bising dan pencemaran
seterusnya menjejaskan kesihatan," katanya.
|