Pembeli minta pemaju pulangkan deposit rumah
27/09/2004 Utusan Malaysia PEMBELI TERTIPU, Johor Bahru, Johor.
Saudara Pengarang,
SEJAK kebelakangan ini, kita sering dipaparkan
dengan pelbagai isu berkaitan masalah rumah terbengkalai. Walaupun
masalah ini acap kali disiarkan oleh pihak media cetak dan
elektronik namun kebanyakan pemaju perumahan yang bermasalah
terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan sewajarnya.
Saya adalah salah seorang pembeli yang rasa tertipu oleh pemaju.
Pemaju yang sepatutnya membina projek Desa Larkin setelah dua tahun
surat perjanjian jual beli ditandatangani, masih gagal menyiapkan
projek tersebut. Kini hanya tinggal cerucuk yang sudah berkarat di
tapak projek tersebut.
Apa yang menyedihkan, baru-baru ini saya telah mendapat notis
membatalkan surat perjanjian jual beli saya, dengan alasan pihak
bank gagal menjelaskan bayaran untuk peringkat kedua projek tersebut.
Pihak pemaju menyalahkan pihak bank, sedangkan projek mereka
terbengkalai dan tidak nampak langsung proses yang sepatutnya.
Semestinya pihak bank tidak akan menjelaskan bayaran jika projek
tersebut gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam
perjanjian jual-beli.
Sebenarnya pihak pemaju tersebut ingin mengelak daripada membayar
ganti rugi kepada pembeli kerana kegagalan mereka menyiapkan projek
itu. Mereka bersikap lepas tangan dan menuding jari kepada pembeli
kerana gagal mematuhi syarat perjanjian jual beli. Sepatutnya mereka
sedar bahawa mereka sendiri yang telah melanggar syarat perjanjian
jual beli tersebut.
Saya sebagai salah seorang pembeli, berasa tidak berpuas hati dan
rasa tertipu. Saya sudah tawar hati dan dapat merasakan projek
tersebut tidak akan diteruskan kerana ramai pembeli yang tidak
berpuas hati telah membatalkan pinjaman mereka dengan pihak bank.
Tetapi saya berharap pihak pemaju dapat memulangkan kembali wang
deposit yang telah saya berikan semasa surat perjanjian
ditandatangani. Pihak pemaju mesti bertanggungjawab di atas
kegagalan pihak mereka menyiapkan projek tersebut.
Mereka mencari helah dengan membatalkan surat perjanjian jual beli
sebelum tempoh tiga tahun untuk menyiapkan projek tersebut supaya
tidak perlu membayar kembali deposit 10 peratus yang telah dibayar
oleh pembeli.
Saya sebagai pembeli telah membuang masa lebih dua tahun menunggu
projek itu disiapkan dan saya tidak mahu duit deposit itu hilang
begitu saja, sedangkan kesilapan terletak di tangan pemaju sendiri
yang gagal menyiapkan projek.
Saya dan pembeli yang teraniaya ingin pihak Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan mengambil tindakan sewajarnya kepada pemaju
yang tidak bertanggungjawab ini. Semoga nasib kami terbela. |