| Pemaju sengketa ,Pembeli 
            derita 
			 HARIAN METRO 08/09/2004 
 PERSENGKETAAN peribadi sama ada antara tuan tanah dengan pemaju atau 
            pengarah syarikat adalah antara faktor utama dikenal pasti 
            menyebabkan projek perumahan terbengkalai.
 Empat faktor lain ialah:* Lokasi tidak sesuai menyebabkan pasaran terjejas. Ini berpunca 
    kurangnya kajian pasaran dibuat sebelum projek perumahan dimulakan.
 * Keadaan tapak kurang sesuai bagi pembinaan projek perumahan 
    menyebabkan kos operasi meningkat.
 * Masalah kewangan dihadapi pemaju yang gagal mendapatkan pinjaman 
    titian (bridging finance).
 * Masalah pemaju digulungkan sama ada oleh kontraktor, pembiaya atau 
    pemiutang lain.
 Setiausaha Parlimen 
    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Subramaniam K V Sathasivam, 
    berkata bagi mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai di seluruh 
    negara, beberapa langkah diambil termasuk mengadakan rundingan dengan pemaju, 
    pembeli dan agensi teknikal serta bank pembiaya bagi mencari langkah 
    memulihkan projek itu. 
			Menurutnya, kementerian berkenaan juga memberi 
            khidmat nasihat dan garis panduan kepada pihak yang ingin mengambil 
            alih projek perumahan terbengkalai. "Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) 
    bagi membuat kajian ke atas projek yang dikenal pasti kementerian sebagai 
    terbengkalai dan seterusnya menyerahkan projek berdaya maju kepada SPNB 
    untuk dipulihkan," katanya menjawab soalan Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah) di 
    Dewan Rakyat, semalam. 
			Sejak 1990 hingga sekarang, Kementerian Perumahan dan 
            Kerajaan Tempatan mengenal pasti 199 projek perumahan terbengkalai 
            di seluruh negara. 
			Daripada jumlah itu, 92 projek perumahan terbengkalai 
            sudah dipulihkan, 99 masih terbengkalai manakala lapan lagi tidak 
            boleh dipulihkan. 
			Sementara itu, dalam sidang akhbarnya di Lobi 
            Parlimen, Subramaniam berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah 
            untuk memberi kebenaran kepada mana-mana pembeli rumah yang projek 
            perumahan mereka terbengkalai, menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi 
            memulihkan projek berkenaan.
     |