| 
            Pemaju, bank patut patut bersama 
			tanggung risiko  
			 UTUSAN MALAYSIA 08/09/2004
			 Saudara Pengarang,
 SAYA tertarik kepada laporan Utusan Malaysia (1 September) yang 
			menyebut
			beberapa pemaju perumahan di negara ini - kecil dan besar - menolak 
			cadangan
			Agensi Penarafan Malaysia (RAM) untuk mewujudkan Formula 10:90 
			kerana sistem
			itu lebih memihak kepada pembeli dan bukan kepada mereka.
 
			Saya tertanya-tanya, apakah hak dan peranan pengguna dalam hal ini. 
			Kerajaan
			pula tersepit dalam pertelingkahan diantara pembeli dan pemaju. 
			Di manakah pula peranan bank atau lain-lain institusi kewangan lain? 
			Selepas 47
			tahun Malaysia merdeka, rumah yang sepatutnya menjadi keperluan asas 
			masih menjadi
			masalah yang paling besar. Selepas saya memikirkan dan melihat perkara ini dari beberapa 
			prespektif saya telah
			membuat beberapa rumusan. Pertama sebagai pengguna, saya patut dan mesti dapat apa yang saya 
			beli.Berdasarkan
			pengalaman saya sebagai pembeli rumah, saya juga pernah terlibat 
			dengan projek rumah
			terbengkalai ini. Saya membeli rumah pada tahun 1998, yang hingga kini bukan setakat 
			tiang, tapak
			pun tak siap lagi. Berdasarkan kontrak yang ditandatangani, 
			sekiranya rumah tidak
			siap selepas dua tahun saya berhak menbatalkan perjanjian dan 
			mendapat balik wang
			yang saya bayar. Malangnya, selepas dua tahun kontrak dibatalkan satu sen pun saya 
			tak dapat. Bukan setakat wang pendahuluan 10 peratus lesap, bayaran guaman 
			perjanjian jual beli
			dan perjanjian pinjaman bank juga hangus. Pergi ke Tribunal Tuntutan Pengguna, mereka tidak boleh membantu. 
			Pergi ke pemaju,
			lagi tidak boleh harap. Pergi ke pejabat kerajaan negeri Selangor, 
			sampai hari ini tidak dengar
			sebarang berita. Ke mana lagi kami hendak mengadu Sampai bila pengguna terpaksa 
			menjadi 'pemegang
			saham tidak berdaftar'. Sedangkan pengguna tidak mendapat apa-apa 
			keuntungan daripada projek. Yang pasti untung pemaju dan bank. Projek terbengkalai, pemaju lari. 
			Bank tetap mencari pembeli.
			Pinjaman tidak bayar, dikatakan 'Jumpa anda di mahkamah'. 
			Kedua, sebagai pemaju saya tidak nafikan bahawa pemaju hanya 
			inginkan perniagaan
			mereka mendapat keuntungan. lni adalah prinsip asas perniagaan. 
			Oleh sebab itulah pemaju akan, berbuat apa sahaja untuk memastikan 
			apa yang mereka
			usahakan akan mendapat keuntungan. Saya tidak menyalahkan mereka 
			sekiranya formula
			10:90 yang dicadangkan RAM ditolak. Saya melihat, tidak banyak 
			pilihan yang ada dan dapat
			dilakukan di sini melainkan peranannya pemaju untuk memastikan rumah 
			disiapkan sebagaimana
			yang dikehendaki dalam perjanjian. Ketiga, peranan bank. Saya melihat peranan bank dalam melaksanakan 
			konsep 'siap baru jual'
			ini sangat kurang dibincangkan. Mungkin ada pihak yang tidak mahu 
			bank terlibat dalam
			perbincangan ini, atau mungkin bank sengaja mendiamkan diri kerana 
			takut akan menerima kesannya. Saya berpendapat, merekalah yang sepatutnya menjadi penggerak utama 
			idea rumah siap baru
			jual. Bank merupakan pemegang modal yang paling utama iaitu kewangan. 
			Selama ini bank hanya
			dilihat mendapat keuntungan atas angin sahaja dengan memberi 
			pinjaman kepada pembeli. Tidak
			kira sama ada pinjaman secara Islam atau konvensional, keuntungan 
			adalah pasti.
			 Segala masalah
			projek dibebankan di atas pembeli dan pemaju.Masalah kewangan dan 
			kelewatan pemaju tanggung,
			masalah terbengkalai pembeli tanggung. Bank hanya mahu memastikan 
			pinjaman yang diberikan
			dibayar sebagaimana yang dipersetujui dalam perjanjian. Kalau tidak, 
			mahkamah menanti. Bank
			tetap tersenyum untung.
			 JAFRI MD AMIN, Hulu Langat, Selangor.  |