Lokasi tak sesuai punca
projek rumah terbengkalai
BERITA HARIAN 8/09/2004
LOKASI dan keadaan tapak yang kurang sesuai adalah antara faktor
yang
menyebabkan berlakunya masalah projek perumahan terbengkalai, Dewan
Rakyat
diberitahu semalam.
Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
Datuk
Dr S Subramaniam berkata selain itu, kegagalan pemaju mendapatkan
pinjaman
titian, masalah pemaju ditipu oleh kontraktor atau pembiaya,
persengketaan
dalaman antara tuan tanah dan pemaju serta masalah dalaman syarikat
turut
menyumbang kepada masalah itu.
Menjawab soalan Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah), beliau berkata
daripada
199 projek perumahan terbengkalai sejak 1990 hingga sekarang, 92
dipulihkan, 99 masih terbengkalai manakala 8 projek dikenal pasti
sesuai
untuk dipulihkan.
Beliau berkata antara langkah yang diambil untuk menangani masalah
itu
termasuk mengadakan rundingan antara pemaju, pembeli dan agensi
teknikal
serta bank pembiaya selain memberi khidmat nasihat dan garis panduan
kepada mana-mana pihak yang ingin mengambil alih sesuatu projek
terbengkalai.
"Kerajaan juga bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad
(SPNB) bagi membuat kajian ke atas projek terbengkalai yang dikenal
pasti
oleh kementerian dan seterusnya menyerahkannya kepada SPNB untuk
dipulihkan," katanya.
Menjawab soalan tambahan anggota yang sama, Subramaniam berkata,
kementerian akan meluluskan permohonan pembeli yang ingin menyambung
atau
menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai dengan menggunakan kos
sendiri.
"Tetapi kementerian tidak mengeluarkan sijil layak menduduki secara
individu kerana ia perlu dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan,"
katanya. Mengenai konsep bina dan jual yang dikemukakan oleh Chong Eng
(DAP-Bukit
Mertajam), Subramaniam berkata, kerajaan tidak memaksa pihak pemaju
perumahan melaksanakan konsep itu kerana masih pada tahap
perbincangan
antara kementerian, persatuan pemaju perumahan, pembeli dan bank.
|