| Lebih banyak flet dibina di Lembah 
			Klang BERITA HARIAN 09/09/2004
 
 KUALA LUMPUR: Lebih banyak rumah pangsa akan dibina di Lembah Klang 
			bagi
			menampung permintaan penduduk terutama setinggan, kata Menteri 
			Perumahan
			dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.
 
			Beliau berkata, penyediaan rumah itu yang juga membabitkan bandar 
			besar
			di seluruh negara bertujuan mengelak pertumbuhan setinggan baru. Katanya, di Lembah Klang, migrasi penduduk dari luar bandar berlaku
			kerana pekerjaan dan menyebabkan permintaan untuk kediaman meningkat
			walaupun pelbagai usaha diambil pihak berkuasa untuk menanganinya. "DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dalam banciannya di sekitar 
			Kuala
			Lumpur pada 1998, mendapati 24,000 rumah setinggan dibina di atas 
			tanah
			orang lain termasuk rizab kerajaan dan untuk mengatasinya, DBKL 
			telah dan
			sedang menyiapkan 34,000 unit rumah pangsa," katanya berucap 
			meraikan
			Kongres ke-28 Rangkaian Antarabangsa bagi Pembangunan Bandar 
			(INTA28), di
			sini malam tadi. Ong berkata, pertambahan ketara itu juga menjadi cabaran utama 
			kepada
			DBKL untuk memenuhi permintaan berkenaan. Terdahulu, Ong berkata, INTA28 adalah platform terbaik bagi mewujud 
			dan
			mengekalkan rangkaian antarabangsa untuk memudahkan kerjasama dan
			bertukar-tukar fikiran antara pengurus bandar bagi membangunkan 
			model
			negara masing-masing bagi pembangunan bandar yang berkekalan dan
			meningkatkan taraf kehidupan. Kongres itu juga adalah forum bersesuaian untuk perwakilan dari 
			seluruh
			dunia bertukar-tukar pengalaman dan mempelajari amalan terbaik 
			masing-masing, katanya. Ong berkata, Malaysia kini merangka Dasar Perbandaran Kebangsaan 
			bagi
			merencana arah dan strategi ke arah pertumbuhan bandar dan 
			pembangunan
			sehingga 2020. Beliau berkata, kerajaan kini melaksanakan pendekatan holistik bagi
			menangani isu kemiskinan bandar dan penempatan semula setinggan. - 
			Bernama |