Kelemahan beri lesen pemaju
punca terbengkalai
01/09/2004
Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 31 0gos - Proses jual beli rumah di negara ini adalah antara
yang terbaik tetapi masalah yang berlaku termasuk projek terbengkalai
berpunca daripada kelemahan dalam proses pemberian lesen kepada pemaju.
Sehubungan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengatasi
kelemahan itu dalam usaha mengatasi masalah projek terbengkalai.
Exco Persatuan. Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Mohd. Khalid
Harun berkata, sehingga kini sistem jual beli rumah di Malaysia merupakan
terbaik kerana kerajaan sentiasa memperbaiki apa sahaja unsur yang boleh
merugikan pembeli dengan melakukan pindaan terhadap Akta Pemaju Perumahan.
Malah sistem yang diamalkan oleh Malaysia, katanya, telah mendapat pujian
daripada negara luar seperti Australia kerana mampu membina dan menyiapkan
ribuan rumah dalam tempoh satu tahun.
''Yang penting sekarang kerajaan mengkaji dan cari punca mengapa berlakunya
rumah terbengkalai setelah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
begitu berpuas hati dan meluluskan lesen pemaju perumahan kepada syarikat
pemaju tersebut. Di mana silapnya?
"Perkara pemberian lesen ini bukan sesuatu yang boleh diberikan
sewenang-wenangnya kerana ia ibarat memberikan nyawa," katanya kepada Utusan
Malaysia, di sini hari ini.
Mohd. Khalid mengulas cadangan Agensi Penarafan Malaysia (RAM) kelmarin yang
mahu formula 10:90, bayar pendahuluan 10 peratus dan 90 peratus selepas siap
dilaksanakan dalam sistem jual beli hartanah dan rumah di negara ini bagi
mengelakkan masalah rumah terbengkalai.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan
akan mempertimbangkan cadangan itu dan mahu Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan memberi perhatian terhadap formula yang dicadangkan oleh
RAM itu kerana ia mampu melindungi kepentingan pembeli.
"Setelah mengetahui punca kelemahan sebenar maka baru boleh kerajaan membuat
rumusan atau andaian sama ada kelemahan terdapat pada kementerian yang
bertanggungjawab ke atas lesen yang dikeluarkan atau terdapat kelemahan
dalam proses prosedur di dalam aturan akta itu," kata Mohd. Khalid.
Sekiranya terdapat kelemahan itu, kata beliau, baru akta itu perlu
diperbaiki atau dipinda lagi.
Beliau menyatakan rasa kesal kerana setiap kali berita mengenai aduan kes
rumah terbengkalai disiarkan oleh pihak media, ramai pihak yang meminta
pindaan ke atas Akta Pemaju Perumahan dilakukan sedangkan pindaan itu baru
sahaja dibuat dua tahun lalu.
"Pada pendapat saya, berilah peluang perkara-perkara yang termaktub dalam
pindaan akta ini digunakan sepenuhnya," katanya.
"Orang ramai juga perlu sedar di peringkat Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR),
pemaju yang gagal menyiapkan projeknya boleh dikenakan hukuman penjara. Ia
seolah-olah telah melakukan satu jenayah.
"Jadi, mengapa hendak pinda lagi akta itu," katanya.
|