Diami rumah
terbengkalai
30/09/2004
Berita Harian
NIBONG TEBAL: Sepasang suami isteri mengambil keputusan tinggal di
rumah terbengkalai yang mereka beli sejak tujuh tahun lalu di Taman
Pekatra Indah, Sungai Bakap, dekat sini kerana tidak sanggup lagi
menanggung beban kewangan.
Yusof Mili, 59, dan isterinya, Nazdiah Ahmad, 56, sepakat
meninggalkan rumah sewa mereka di Relau, Georgetown dan berpindah ke
rumah yang belum dibekalkan kemudahan asas itu kira-kira tiga bulan
lalu.
Mereka kini penghuni tunggal rumah teres dua tingkat yang
dikelilingi lebih 500 unit rumah yang masih kosong serta dipenuhi
semak samun kerana pembeli lain masih belum berpindah.
Ini disebabkan kehidupan di situ sukar kerana kemudahan asas belum
dibekalkan, termasuk bekalan elektrik, air dan jalan yang sempurna.
“Walaupun hidup terpencil tanpa jiran tetangga dan terpaksa
menyalakan lilin pada waktu malam untuk menerangi rumah, saya dan
isteri terpaksa mengambil keputusan berpindah ke rumah ini sejak
tiga bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Yusof mendakwa selepas membeli rumah teres dua tingkat itu pada 1997
dengan harga RM80,000, harapannya untuk melihat rumah itu siap dalam
tempoh dua tahun seperti dijanjikan tidak menjadi kenyataan.
Katanya, dalam tempoh tujuh tahun itu dia terpaksa membayar sewa
bulanan RM450 dan pinjaman bank serta faedah RM398 sebulan,
sedangkan gajinya sebagai juru ukur sebuah syarikat swasta, kecil.
“Disebabkan sering menghadapi masalah kewangan, saya dan isteri
bertekad berpindah ke taman perumahan yang masih lengang itu
walaupun menyedari kesulitan hidup menunggu kami di sini.
“Masalah utama yang dihadapi ialah ketiadaan bekalan air,
menyebabkan kami terpaksa menadah air hujan atau mengangkutnya dari
rumah jiran hampir kira-kira setengah kilometer,” katanya.
Yusof berkata, disebabkan kawasan perumahan itu dipenuhi semak-samun,
ular sawa dan tedung senduk kerap ditemui tetapi setakat ini mereka
belum dipatuk reptilia itu.
Katanya, dalam tempoh tujuh tahun menunggu, dia menemui banyak pihak
termasuk pemaju meminta pembinaan rumah teres terbengkalai itu
diteruskan sehingga siap, namun sehingga ini tiada tindakan diambil.
“Oleh kerana masalah ini membabitkan ramai pembeli, pelbagai pihak
termasuk wakil rakyat di kawasan ini sepatutnya turun padang bagi
menanganinya, sekali gus memastikan projek perumahan terbengkalai
itu disiapkan,” katanya.
|