This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

36 projek rumah terbengkalai
Berita Harian 21/09/2004

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor mengenal pasti sebanyak 36 projek perumahan bernilai RM1.87 bilion masih terbengkalai di negeri ini bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Antara kawasan projek perumahan terbengkalai itu ialah di Ampang, Tanjung Karang, Klang, Bandar Baru Salak Tinggi, Semenyih, Balakong, Serdang, Hulu Selangor serta Sungai Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan, berkata jumlah unit projek perumahan terbengkalai itu ialah 22,055 unit membabitkan seramai 13,540 pembeli.

"Walaupun jumlah projek terbengkalai pada tahun ini berkurangan berbanding 56 projek pada 2003 dan 86 projek pada 2002, kerajaan tetap menganggap ia satu perkara yang perlu ditangani segera.

"Masalah seperti ini membabitkan rakyat yang amat memerlukan kediaman sendiri, tetapi apa diharapkan tidak mendatangkan pulangan setimpal daripada apa yang sudah dilaburkan sebelum itu.

"Apabila projek perumahan tidak siap, bermakna pembeli terpaksa berdepan pelbagai kesulitan seperti pembayaran ansuran bulanan kepada institusi kewangan dan pada masa sama terpaksa pula membayar sewa rumah sedia ada, selain berdepan dengan kadar bunga ditetapkan.

"Apabila perkara sedemikian berlaku, pemaju perumahan akan lepas tangan dan kerajaan pula terpaksa menanggung bebanan itu kerana rakyat mula menuding jari untuk mencari penyelesaian segera," katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Sebagai jalan terbaik, Mokhtar berkata, kerajaan negeri bermuafakat dengan Syarikat Perumahan Negara (SPN) bagi menyelesaikan projek perumahan terbengkalai.

"Setakat ini, lapan projek rumah yang terbengkalai itu sudah diambil alih oleh SPN dan tiga lagi projek berkenaan pada peringkat rundingan akhir bagi tujuan sama.

"Kita (kerajaan Selangor) berharap menerusi SPN, projek perumahan terbengkalai itu dapat diteruskan bagi membolehkan pembeli sedia ada memperoleh rumah idaman masing-masing dalam tempoh segera," katanya.

Ditanya faktor menyebabkan projek perumahan terbengkalai di Selangor, kata Mohd Mokhtar, ada empat sebab utama iaitu pertama, syarikat pemaju yang hendak membangunkan projek perumahan tidak mempunyai modal cukup.`

"Kedua, pengurusan kewangan lemah; ketiga, tidak cukup berpengalaman dan keempat pula ialah tiada daya ketahanan dalam sesebuah syarikat itu terutama apabila berlaku kegawatan ekonomi," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.