Taman terbengkalai 14 tahun dibaik
pulih
17/08/2004 BERITA HARIAN
SEREMBAN: Taman Pelangi Fasa 1 dan 2 di Sikamat, dekat sini yang terbengkalai
sejak 14 tahun lalu dibaik pulih semula berikutan terdapat kontraktor yang berminat
memulihkan projek berkenaan.
Pengerusi Bertindak Projek Perumahan Terbengkalai Taman Pelangi, Mohammad
Ahmad, berkata sehubungan itu pembeli rumah taman berkenaan diminta hadir di
Surau Lama Taman Pelangi, 4 September ini.
"Kita berharap lebih 435 pembeli fasa pertama dan kedua taman berkenaan hadir
pada hari berkenaan dengan membawa dokumen perjanjian pembelian rumah yang sudah
ditandatangani sebelum ini.
"Kehadiran mereka penting bagi mencari persetujuan berhubung minat beberapa
kontraktor yang bersetuju membantu untuk memulihkan semula projek itu," katanya.
Mohammad berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Mohd Yusof Harmain
Shah menyarankan diadakan mesyuarat membabitkan pembeli bagi tujuan itu.
"Lima kontraktor sudah bertukar tangan dalam memulihkan projek taman ini
tetapi hingga hari ini masih terbengkalai kecuali fasa ketiga yang dapat disiapkan.
"Bagi pembeli fasa pertama dan kedua, kegagalan itu jelas membebankan kerana
perlu membayar pinjaman sejak 14 tahun lalu kepada bank tetapi hingga hari ini
rumah yang dibeli belum dapat diduduki.
"Saya berharap kerjasama pembeli supaya datang pada mesyuarat itu untuk memastikan
projek membaik pulih dapat dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
|