SPNB diberi 2 tahun pertingkat prestasi
Berita Harian 15/08/2004
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perakaunan Awam (PAC) semalam mengarahkan
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meningkatkan prestasinya
berikutan kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan untuk
dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang berakhir
tahun depan.
Pengerusinya, Tan Sri Ramli Ngah Talib, berkata SPNB diberikan
tempoh dua tahun untuk berbuat demikian sebelum prestasinya dinilai
semula. Katanya, SPNB sepatutnya membina 36,000 unit rumah kos
rendah dalam tempoh RMK-8 tetapi hanya kira-kira 20,000 unit yang
mampu disiapkan sehingga kini.
"SPNB dari segi pengurusan projek memuaskan tetapi dari segi
mencapai sasaran yang ditetapkan tidak menyenangkan.
"Tahun ini saja sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada SPNB untuk
membina 2,500 unit rumah kos rendah tetapi hanya 631 unit disiapkan,"
katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC
berhubung Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Bangunan
Parlimen, semalam.
Hadir sama pada mesyuarat kedua PAC itu ialah Timbalan Ketua
Setiausaha kementerian, Datuk Ahmad Kamaruddin Abdul Rashid; Ketua
Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Ahmad Salludin Dali;
Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain, dan Datuk Bandar
Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Shaid Mohd Taufek.
Sehubungan itu, kata Ramli, PAC mahu SPNB menumpukan kepada salah
satu tugasannya sama ada membina rumah kos rendah baru, menghidupkan
semula projek perumahan kos rendah yang terbengkalai atau mengurus
pinjaman bersambung bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga wajar
memantau pelaksanaan projek oleh SPNB bagi memastikan tiada
kelewatan atau kerumitan yang timbul.
"Mereka (kementerian) perlu kerahkan jabatan tertentu untuk memantau....
Memang senang untuk mengadakan dasar tetapi tidak mudah untuk
melaksanakannya," katanya.
Ramli berkata, secara keseluruhannya PAC berpuas hati dengan
prestasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan rumah
kos rendah kepada warga kota dan mengatasi masalah setinggan di ibu
kota.
Katanya, beliau percaya hanya DBKL yang mampu mengatasi masalah itu
berbanding pihak berkuasa di negeri lain kerana ia mempunyai
keupayaan dan program yang terancang.
Bagaimanapun, katanya, PAC tidak berpuas hati dengan aspek
penyenggaraan rumah pangsa awam dan mahu pihak berkuasa terbabit
mengambil tindakan segera bagi meningkatkan pengurusannya.
|
|
|