SPNB ambil alih empat fasa rumah
terbengkalai di Lembah Beringin
24/08/2004 Utusan
Malaysia
KUALA LUMPUR 23 Ogos - Syarikat Perumahan Negara
Berhad (SPNB) akan mengambil alih empat fasa projek perumahan
terbengkalai di Lembah Beringin, kira-kira 70 kilometer dari sini
yang gagal disiapkan oleh pemaju, Lembah Beringin Sdn. Bhd. (LBSB).
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang
terpaksa campur tangan menangani kegagalan pemaju berkenaan,
mengarahkan SPNB berbuat demikian.
Ketua Pegawai Operasi LBSB, Muhd. Najib Mohd. Rawi
berkata, krisis kewangan pada 1997 menyebabkan empat fasa
pembangunan rumah yang dibangunkan anak syarikat Land & General itu
terjejas teruk.
Ekoran itu, katanya, beberapa usaha telah
dilakukan untuk memulihkan projek tersebut tetapi menemui jalan
buntu.
"LBSB juga telah mengadakan beberapa perjumpaan
dengan Ahli Jawatankuasa Pembeli Rumah dan Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan untuk mencari jalan penyelesaian.
"Untuk kepentingan awam, kementerian akhirnya
telah mengarahkan SPNB untuk memulihkan projek itu," katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan surat pembaca
yang menggelarkan dirinya, 'Penanti 7 Tahun, Selangor' masih
menunggu rumahnya di Lembah Beringin yang dibeli pada 1997,
disiapkan.
Malahan penulis sehingga kini tidak mengetahui lot
sebenar rumah yang dibelinya itu.
Menurut Muhd. Najib, SPNB secara dasarnya telah
bersetuju untuk mengambil alih projek berkenaan dan akan mengadakan
perjumpaan dengan pembeli-pembeli rumah terbabit pada hujung bulan
ini.
Kurangkan beban
"Skim pemulihan tersebut akan menyiapkan semua
rumah terbengkalai dengan tidak mengenakan sebarang kos tambahan,"
katanya.
Beliau juga berkata, pembeli hanya perlu membuat
pembayaran setelah rumah berkenaan siap sepenuhnya.
Ini bermakna bayaran yang sepatutnya perlu dibayar
bagi setiap peringkat akan dikecualikan bagi mengurangkan beban
pembeli yang telah lama menunggu, katanya.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa
LBSB tidak pernah menawarkan pembeli rumah di Lembah Beringin
menukar unit rumah mereka dengan hartanah di projek perumahan lain
yang dimajukan oleh syarikat itu.
Penulis dalam suratnya mendakwa, LBSB berjanji
akan menggantikan rumah berharga RM116,000 yang dibelinya dengan
sebuah kondominium berharga RM260,000 di Bandar Sri Damansara.
"Bagaimanapun, kita ada menawarkan pembeli-pembeli
yang terjejas itu dengan rumah atau banglo yang telah siap di Lembah
Beringin," katanya.
Sehingga kini, jelasnya, sebanyak 60 pembeli rumah
telah bersetuju menerima tawaran tersebut.
"Kami percaya pemulihan yang akan dilakukan oleh
SPNB akan memberikan faedah kepada semua pihak," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kewangan Kumpulan
SPNB, Ahmad Tarmizi Mohamed Hariri mengesahkan kepada Utusan
Malaysia hari ini, memang terdapat empat fasa projek perumahan
terbengkalai berjumlah 657 unit berharga di bawah RM200,000 yang
akan disiapkan pembinaannya oleh agensi pelaksana berkenaan.
Katanya, fasa projek rumah terbengkalai di Lembah
Beringin yang akan disiapkan pembinaan oleh SPNB itu adalah terdiri
daripada rumah jenis Iris (167 unit), Jasmine (217 unit), Heart (197
unit) dan Flora (76 unit).
Beliau bagaimanapun berkata, penulis surat pembaca
itu tidak menjelaskan dengan tepat rasa projek rumah yang dibelinya
dan tidak dapat dipastikan sama ada rumah beliannya termasuk di
dalam projek yang akan disiapkan oleh SPNB tersebut.
Perjumpaan
Beliau berkata, SPNB dijangka mengadakan
perjumpaan dengan kesemua pembeli 657 unit rumah terbengkalai itu
untuk disiapkan oleh SPNB itu di Lembah Beringin pada penghujung
minggu ini.
Ahmad Tarmizi berkata, hingga kini Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyerahkan 173 senarai projek
perumahan terbengkalai untuk disiapkan pembinaannya oleh SPNB di
seluruh negara.
|