Rumah terbengkalai satu masalah
29/08/2004 Mingguan Malaysia
KEPALA BATAS 28 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin dengan kewibawaan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyelesaikan masalah projek
rumah terbengkalai yang banyak dilaporkan di negara ini.
Perdana Menteri berkata, ketika ini kementerian berkenaan sedang mengkaji dengan
serius masalah rumah terbengkalai dan sedang memastikan langkah-langkah untuk
melindungi pembeli.
``Kita dah bincangkan rumah terbengkalai ini sebagai satu masalah, sebab itu
saya keluarkan kenyataan supaya lebih baiklah buat rumah dulu siap, baru jual,
maka tak jadi begini.
``Kalau buat rumah, terbengkalai, itu kerugian dialah (pemaju) walaupun kita
dukacita dia rugi tapi sekurang-kurangnya ia tidak melibatkan orang yang membeli,
orang yang duit tak ada atau pendapatan sikit, beli, lepas itu rumah tak dapat.
Itu takkan berlakulah,'' katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemodenan Pemprosesan Makanan
Tradisional di Pusat Budi Penyayang di sini hari ini.
Isu rumah terbengkalai hangat diperkatakan sejak Isnin lalu apabila Utusan Malaysia
menyiarkan surat daripada seorang pemilik rumah terbengkalai di Lembah Beringin,
Hulu Selangor, Norhiza Jaffar,38, yang telah menunggu rumahnya selama tujuh
tahun untuk disiapkan oleh pemaju terbabit.
Kelmarin, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan bahawa penyelesaian
kepada masalah projek rumah terbengkalai bukan sesuatu yang boleh dilakukan
dalam jangka masa pendek.
Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Mohd. Jasan berkata, ini kerana kebanyakan
kes projek rumah terbengkalai sentiasa membabitkan permasalahan yang rumit dan
kompleks.
Di KUALA LUMPUR, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka
Ting berkata, pihaknya masih menjalankan kajian berhubung cadangan untuk melaksanakan
konsep `bina dan jual'.
Ka Ting memberitahu, Perdana Menteri sememangnya amat mengambil berat mengenai
projek rumah terbengkalai dan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Abdullah
mengenai perkara tersebut.
|