Pengalaman pahit PM, MB --
Masalah projek rumah terbengkalai bukan sekadar menghantui rakyat biasa
27/08/2004 Utusan Oleh: NAZERI
NONG SAMAH, HAIRULAZIM MAHMUD dan ZAINI RABAN
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Percaya atau tidak, masalah projek rumah terbengkalai
bukan sekadar menghantui orang kebanyakan malahan Menteri Besar Selangor,
Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo juga tidak terlepas daripada melalui
pengalaman pahit itu.
``Jangan kata rumah, cerucuk pun tak naik lagi sampai sekarang,'' kata
Mohamad Khir di Shah Alam hari ini yang merujuk kepada pangsapuri yang
dibelinya di Salak Tinggi, Sepang pada tahun 1994.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini turut
menceritakan nasib malang pembeli rumah di negeri asalnya, yang terpaksa
membayar pinjaman selama 20 tahun, sedangkan rumah yang dibeli tidak juga
siap-siap.
Kata Abdullah: ``Saya ada pengalaman yang sangat teruk mengenai rumah
terbengkalai di Butterworth, Pulau Pinang. Orang ramai terpaksa bayar (harga)
unit apartmen selama 20 tahun kepada bank sebab dia ambil hutang (pinjaman).
``Kemudian, pada masa yang sama terpaksa membayar sewa rumah yang sedang
diduduki,'' katanya dengan nada kecewa pada sidang akhbar selepas merasmikan
Ekspo Pelaburan Malaysia 2004 anjuran Bursa Malaysia Berhad (Bursa
Malaysia), di sini.
Sebelum itu Abdullah diminta mengulas mengenai projek rumah terbengkalai
yang banyak dilaporkan di negara ini.
Surat Pembaca Muka 1, Utusan Malaysia Isnin lepas misalnya menyiarkan
rintihan seorang pembeli rumah, Norhiza Jaafar, 38, yang sudah tujuh tahun
menanti rumahnya yang belum menjadi kenyataan apabila projek berkenaan di
Lembah Beringin, Hulu Selangor terbengkalai.
Perdana Menteri seterusnya berkata, bertolak daripada pengalaman itulah,
beliau pernah mencadangkan supaya konsep rumah siap baru jual diamalkan;
bagi mengelakkan rakyat menderita beban membayar balik ansuran bulanan
pinjaman bank walaupun rumah tidak siap, dan pada masa sama terpaksa menyewa
rumah.
Semua itu adalah akibat sikap tamak segelintir pemaju yang tidak
bertanggungjawab, jelasnya.
``Itulah, kalau kita jual rumah apabila sudah siap, tak jadilah macam ni.
Tetapi saya tak kata semua pemaju perangai begitu atau pun tidak
bertanggungjawab,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri
Ong Ka Ting sedang mengkaji dengan serius masalah rumah terbengkalai dan
sedang memastikan langkah-langkah untuk melindungi pembeli.
Sementara itu, Mohamad Khir menceritakan bagaimana pangsapuri yang dibeli
pada 1994 di Salak Tinggi, bukan sahaja tidak siap, malah pemajunya terus
mendiamkan diri bagaikan tidak bersalah apa-apa.
Pangsapuri itu dibeli ketika beliau masih menjadi doktor gigi dan ketika
membuat tinjauan untuk melihat perkembangan projek berkenaan, tidak ada
apa-apa struktur pun yang dibina oleh pemaju.
``Saya sangat kecewa dalam hal ini, saya ingat mahu tinggal bersama keluarga
dan kakak saya di situ tetapi sampai sekarang rumah itu tidak siap-siap,''
katanya.
Beliau yang tidak berpuas hati dengan keadaan itu membuat siasatan lanjut
dan mendapati pemaju projek pangsapuri berkenaan menghadapi masalah kewangan
dan kini tidak lagi dibenarkan berurusniaga di Bursa Malaysia.
Sehubungan itu, beliau yang merasai sendiri pengalaman ditipu pemaju
menafikan tuduhan segelintir pihak bahawa beliau tidak prihatin dengan nasib
pembeli rumah yang berasa mereka dipermainkan pemaju.
``Cuma sekarang, kerajaan negeri mahu menumpukan usaha mengatasi masalah
setinggan terlebih dahulu bagi memastikan semua penduduk setinggan mendapat
rumah yang lebih selesa.
``Berilah saya masa, kerajaan negeri akan selesaikan masalah perumahan di
Selangor satu persatu,'' jelasnya.
Antara perkara yang beliau fikirkan, katanya, ialah menyenaraihitamkan
pemaju projek perumahan terbabit serta mengkaji semula perjanjian jual beli
rumah bagi melindungi hak pembeli.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri tidak akan sewenang-wenangnya
meluluskan projek perumahan kepada pemaju baru tetapi kedudukan kewangan
mereka akan dikaji terlebih dahulu. |