Penduduk tunggu 34 tahun belum
dapat CF
Harian Metro 02/08/2004
KUALA LUMPUR: Penduduk Jinjang Selatan Tambahan, dekat sini, yang belum
mendapatkan sijil layak menduduki (CF) rumah yang mereka duduki sejak 34
tahun lalu meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan geran tanah
kekal.
Ketua Biro Perkhidmatan dan Hal Ehwal Awam MCA Bahagian Kepong, Yee Poh
Ping, berkata walaupun permohonan hak milik tetap (geran) tanah mula dibuat
sejak 1973, ia belum berhasil.
"Sudah 30 tahun kami memohon geran tanah tetapi tiada keputusan yang
diterima sedangkan cukai pintu dibayar setiap enam bulan kepada Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Selepas sekian lama, kami berharap mendapat geran tanah kediaman
memandangkan sebahagian penghuni Jinjang Selatan Tambahan sudah lanjut usia,"
katanya pada sidang media di Dewan Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang
Selatan, di sini, semalam.
Hadir sama Bekas Presiden Parti Tindakan India Kebangsaan Malaysia (MIAC), A
Ponnampalam; Pengerusi Persatuan Penghuni Jinjang Selatan Tambahan, Ong Pick
Chew dan Pengerusi Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan Tambahan,
Karuppiah Palaniandy.
Sementara itu, Yee berkata penduduk Jinjang Selatan Tambahan meminta DBKL
menghentikan segala perbincangan dengan pemaju dan tidak membiarkan kerja
pembangunan dijalankan sewenang-wenangnya.
"Sekiranya kawasan ini dimajukan, bagaimana pula dengan kemudahan sedia ada
seperti jalan raya, balai raya, lampu jalan dan tanda jalan yang disediakan
kerajaan.
"Kami berharap permohonan mendapatkan surat hak milik tanah diteliti dan
dipersetujui kerana tanpa geran tanah, keadaan rumah yang usang tidak dapat
diperbaiki," katanya.
Tambahnya lagi, kawasan Jinjang Selatan Tambahan mempunyai ciri yang sama
seperti status perumahan Kampung Baru yang terkandung dalam Pelan Struktur
Draf Kuala Lumpur 2020.
"Kami bukan setinggan kerana ia taman tersusun setaraf dengan kampung baru
di tempat lain," katanya.
|