Pembeli kecewa rumah dibeli
terbengkalai
15/07/2004 Utusan
Saudara Pengarang,
PEMBELI sering mengeluh dengan projek perumahan yang selalu terbengkalai dan
menyusahkan mereka.
Saya adalah salah seorang daripada kakitangan kerajaan yang telah memeterai
perjanjian jual beli rumah dengan pemaju projek di Taman Seri Abadi Fasa II,
Jalan Kuala Kedah, Alor Star, Kedah dengan mendapat pembiayaan Bahagian
Pinjaman Perumahan.
Perjanjian telah ditandatangani pada tahun 1997. Saya telah membeli rumah
kos sederhana rendah, dengan perjanjian selama dua tahun tempoh siap untuk
projek perumahan tersebut dan boleh didiami. Apa yang menyedihkan hingga
kini telah menjangkau lebih tujuh tahun (2004) dan masih terbengkalai.
Kebanyakan rumah di situ telah pun hampir 80 peratus siap, yang tinggal cuma
saluran elektrik dan paip air. Sejak akhir-akhir ini kemajuan projek
perumahan terlalu lembap. Apakah yang tinggal untuk kami meneruskan
kehidupan anak isteri dengan selesa dan tenteram?
Selepas ditolak potongan rumah, sewa rumah hutang kereta, persekolahan anak,
dan segala bil, baki yang tinggal sekadar cukup untuk mengalas perut. Kami
terpaksa berjimat cermat berbelanja sedangkan rumah yang dijanjikan masih
belum dapat didiami.
Selaku kakitangan kerajaan saya cuba tidak membawa masalah peribadi ke
pejabat tetapi tekanan jiwa dan mental melemahkan semangat hingga
menjejaskan prestasi kerja. Persoalannya sampai bila kami harus menanggung
semua ini? - PENGUNDI KECEWA, Alor Star, Kedah.
|