Pemaju lepas tangan (Tindakan
tegas perlu diambil)
31/08/2004 Harian Metro
PEMBELI KECEWA,
Rawang
SEJAK kebelakangan ini, kita sering dipaparkan pelbagai isu berkaitan
masalah rumah terbengkalai sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Masalah rumah terbengkalai bukan isu baru yang ingin dibangkitkan, tetapi ia
sudah berlaku sejak bertahun dulu oleh pelbagai pihak, namun kebanyakan
pemaju perumahan bermasalah ini terlepas begitu saja tanpa diambil sebarang
tindakan.
Biarpun saya tidak menghadapi sebarang masalah projek perumahan terbengkalai,
tetapi sebagai pembeli rumah di kawasan projek perumahan raksasa Rawang,
saya kecewa kerana projek berkenaan lambat disiapkan.
Projek yang sepatutnya siap setahun lalu hanya dapat diduduki hampir
setengah tahun daripada jangka masa yang ditetapkan, malah keadaannya begitu
mengecewakan pembeli dan tidak sepatutnya berlaku.
Bayangkan betapa kecewanya kami apabila mendapati istana yang diimpikan
umpama sebuah teratak lama yang penuh dengan kedaifan dan masalah seperti
keretakan, siling bocor, ukuran tidak mengikut spesifikasi, bumbung terkopak,
dinding senget dan lantai terkopak.
Ini ditambah dengan sikap kakitangan pemaju terbabit yang seolah-olah enggan
bertanggungjawab. Walaupun pembeli sudah membuat puluhan aduan namun mereka
hanya mengambil sikap lepas tangan.
Saya teringat suatu kes yang dihadapi seorang pembeli yang terpaksa
membatalkan hasratnya untuk berpindah ke Bandar Tasik Puteri kerana kecuaian
pihak pemaju yang tidak membaiki tangki air yang rosak, biarpun dijanjikan
pemaju sebelum ini.
Justeru saya ingin mencadangkan supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap
pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan dan syarikat yang gagal
menyediakan rumah yang berkualiti.
Saya berharap dengan tindakan tegas sedemikian akan dapat membantu pembeli
daripada terus menjadi mangsa pemaju yang tidak bertanggungjawab, bak kata
pepatah rumah siap tetapi pahat masih berbunyi.
|