This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Minta FOMCA, Suhakam bela rumah 14 tahun terbengkalai
25/08/2004 Utusan Malaysia

Saudara Pengarang,

Apabila terbaca kes Norhiza Jaafar yang menyaksikan rumah impiannya di Lembah Beringin terbengkalai lebih tujuh tahun ,ia lantas mengingatkan saya kepada projek perumahan saya.

Saya membeli rumah tepi dengan pemaju Tegoh Timber and Properties Sdn.Bhd ,yang alamat pejabatnya di 41B,Jalan SG1/6 ,Taman Sri Gombak ,Batu Caves,Selangor.

Harga rumah dua tingkat kos sederhana rendah ketika itu ialah RM55,260 dengan harga lebihan tanah ,RM10,260.

Saya telah menandatangani perjanjian jual beli hartanah dengan pemaju di bawah projek Taman Bayu ,Lot 61 Kenanga dengan membuat bayaran 10 peratus di atas harga rumah tersebut iaitu RM5,526 melalui resit nombor 918.

Peguamcara dan peguambela bagi projek perumahan ini ialah Asordin Ramli @ Co.

Saya masih terbayang-bayang betapa berebut-rebut orang datang ke pejabat pemaju itu untuk membuat tempahan.

Kebanyakannya kakitangan kerajaan .Ada yang membawa anak-anak mereka yang masih kecil ke pejabat tersebut. Itu kisah dulu.Tetapi sekarang,nasib saya serupa dengan takdir Norhiza.

Rumah impian yang saya beli berdekatan dengan pusat pelancongan Mimaland itu juga terbengkalai sehingga sekarang.

Bezanya dengan Norhiza,projek rumah saya terbengkalai 14 tahun sejak 1990. Meminjam kata Tun Dr Mahathir Mohamad:"Dah lama dah".

Saya pun dah terlupa langsung bahawa satu ketika dulu saya memang mempunyai impian untuk memiliki sebuah rumah dekat Mimaland sehinggalah kes Norhiza tersiar di akhbar Utusan Malaysia.

Penantian

Bayangkan betapa lamanya penantian saya: Mimaland yang dikunjungi ramai ketika itu,sudah tidak wujud lagi.

Kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia daripada belum wujud, sudah berdiri megah di Gombak.

Taman bayu dengan slogannya "Kehidupan Tenteram Dan Segar Di Kelilingi Kehijauan" entah di mana letaknya sekarang.

Saya juga tidak pasti ,pemaju Tegoh Timber masih hidup lagi atau sudah bungkus.
Atau sudah buat syarikat perumahan yang baru dan buat projek perumahan lain yang mungkin terbengkalai lagi.

Saya pun tidak pasti sama ada projek perumahan ini yang khabarnya di bawah Program Khas Perumahan Kerajaan Selangor ada usaha untuk dipulihkan atau dibiarkan oleh kerajaan sebagai "sejarah hitam" buat pembeli rumah berkenaan.

Saya minta pihak kerajaan termasuk Suhakam yang memperjuangkan hak asasi manusia melihat perkara ini.

Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan ,Datuk Seri Ong Ka Ting juga perlu lakukan sesuatu.Selamat dan pulihkan semua rumah terbengkalai termasuk yang berbelas-belas tahun seperti Taman Bayu ini.

Sayang, kalau kita mempunyai persatuan pengguna yang kuat,berpengaruh dan berkuasa seperti di negara-negara maju, mungkin nasib saya dan mangsa-mangsa rumah terbengkalai lain sudah terbela.

Di mana kau FOMCA?

Penunggu 14 tahun, Kuala Lumpur

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.