MCSB sedia siapkan projek
tertangguh
27/08/2004
Utusan MalaysiaKUALA LUMPUR 26 Ogos - Sebuah syarikat pemaju perumahan bumiputera,
Matrix CIV Sdn. Bhd. (MCSB) hari ini menyatakan kesediaan untuk
mengambilalih sebarang projek perumahan terbengkalai dan menyiapkan
kerja-kerja yang ter-tangguh sehingga selesai sepenuhnya.
Pengerusi Eksekutif MCSB, Datuk Paduka Ali Akbar Bahar berkata,
kesediaan pihaknya berbuat demikian adalah kerana mahu membantu
pembeli-pembeli rumah yang disifatkan beliau sebagai teraniaya.
Di samping itu, jelas beliau, pengambil-alihan projek-projek
terbengkalai itu akan dapat membantu kerajaan meningkatkan ekonomi
negara.
"Kami sedia berbincang dengan mana-mana pemaju perumahan yang tidak
dapat meneruskan projek kerana menghadapi masalah.
"Kami sanggup dan mampu untuk meneruskan projek yang terbengkalai,"
katanya di sini, hari ini.
Isu projek perumahan terbengkalai hangat diperkatakan dalam Utusan
Malaysia sejak akhir-akhir ini.
Ia bermula apabila surat daripada seorang pemilik rumah terbengkalai
di Lembah Beringin, Hulu Selangor, Norhiza Jaffar, 38, disiarkan
pada muka depan Utusan Malaysia Isnin lalu.
Rumah bernilai RM111,888 yang dibelinya pada 21 Oktober 1997 dan
sepatutnya siap pada 1999 kini terbengkalai begitu sahaja.
Ruangan Forum ,Utusan Malaysia ,semalam turut menyiarkan keluhan
seorang lagi pembeli rumah yang menamakan dirinya sebagai Penunggu
14 Tahun yang juga menghadapi masalah sama.
Beliau merasakan dirinya tertindas kerana rumah yang dibelinya di
kawasan Taman Bayu, Gombak dekat sini telah terbengkalai sejak 14
tahun dahulu.
Kata Ali Akbar, pihaknya berpengalaman lebih 10 tahun sebagai
kontraktor dan pemaju perumahan.
Katanya, MCSB kini menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa
tempatan untuk memulakan projek terbesarnya iaitu membina 10,000
unit kediaman untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Perak
yang bernilai lebih RM600 juta.
Beliau juga memberitahu, MCSB dijangka akan memulakan fasa pertama
projek tersebut pada Oktober depan.
"Selain perumahan untuk anggota ATM, MCSB juga memajukan beberapa
lagi projek-projek perumahan lain di negeri Perak iaitu di Tambun,
Tronoh dan Sungkai," katanya lagi.
Ali Akbar memberitahu, selain MCSB beliau juga menjadi Pengerusi
Eksekutif untuk Perisian Pernas (M) Sdn. Bhd. (PPSB).
PPSB, katanya, merupakan kontraktor kepada beberapa projek perumahan
di sekitar Kelantan dan juga di Johor. |