KWSP tolak surat
pengesahan
HARIAN METRO 18/08/2004
SAYA terpanggil untuk berkongsi pengalaman selepas
membaca rintihan oleh Mangsa Birokrasi dari Taman Kinrara, Puchong.
Pada 1997 saya membeli sebuah rumah teres dua
tingkat di Sungai Buaya, Rawang. Untuk meringankan beban kewangan,
saya mengeluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
dari akaun 2 bagi bayaran 10 peratus wang pendahuluan.
Namun, nasib tidak menyebelahi saya selepas dua
tahun menunggu tapak perumahan itu masih belum diratakan akibat
pemaju gagal mendapat persetujuan daripada peneroka Felda.
Saya segera memaklumkan masalah itu kepada KWSP
Selangor di Shah Alam untuk mengaktifkan kembali akaun 2 bagi
membolehkan pengeluaran kedua untuk rumah lain.
Setelah berjumpa dengan pegawai KWSP, kami
disyaratkan mendapatkan surat dari Kementerian Perumahan bagi
mengesahkan projek perumahan pertama itu adalah projek terbengkalai.
Saya akur dengan syarat itu dan pergi ke
Kementerian Perumahan di
Damansara beberapa kali untuk mendapat surat yang dikehendaki. Saya
akhirnya berjaya mendapat surat itu selepas sekian lama sabar
menunggu.
Saya kembali ke KWSP dan berjumpa dengan pegawai
sama berserta dokumen yang diperlukan. Pegawai itu memaklumkan pihak
KWSP perlukan masa untuk menyemak dan memproses permohonan saya.
Pada masa yang ditetapkan saya kembali berjumpa
pegawai KWSP, namun keputusannya amat mengecewakan. Pegawai itu
tidak mempercayai langsung surat yang disahkan oleh Kementerian
Perumahan dan lebih menyedihkan beliau tidak memberi sebarang
penyelesaian alternatif supaya akaun 2 dapat diaktifkan kembali.
Malahan mengatakan projek perumahan yang tidak
siap itu adalah masalah saya semata-mata dan bukan dari pihak
pemaju. Saya pulang dengan kecewa dan harapan untuk memiliki rumah
dari bantuan wang sendiri dari akaun 2 KWSP tidak kesampaian
sehingga mencapai umur persaraan.
Namun, saya tidak putus asa. Saya mencuba nasib ke
KWSP Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk memohon perkara yang sama.
Apa yang menghairankan, permohonan saya diluluskan tanpa syarat.
Malah akaun 2 saya dapat diaktifkan tanpa
mengambil masa yang lama.
Saya amat berterima kasih kepada kakitangan
bertugas kerana berkhidmat dengan begitu cekap dan amanah.
Saya harap apa yang berlaku ke atas saya dapat
segera diatasi supaya orang lain tidak mengalami nasib sama seperti
saya.
MANGSA KECEWA
Shah Alam, Selangor
|