Kerajaan digesa pinda Akta
Pemaju Perumahan 2002
Utusan 28/8/2004
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Persatuan-persatuan pengguna dan pengamal
undang-undang menggesa kerajaan meminda Akta Pemaju Perumahan (Pindaan) 2002
supaya lebih tegas dalam `menghukum' pemaju-pemaju yang tidak menyiapkan
sesuatu projek perumahan.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Osman
berkata, pindaan harus melibatkan penjelasan lengkap tentang pemaju dan
semua peraturan yang perlu mereka patuhi dalam menjalankan sesuatu projek.
Katanya, ia juga harus memasukkan peraturan dan penjelasan terperinci
tentang tindakan undang-undang, proses mendapatkan tender projek dan semua
kriteria yang harus ada pada setiap pemaju.
``Perlu ada garis panduan yang jelas dan lengkap supaya pembeli tidak rugi
dalam akta tersebut termasuk syarat seperti wang deposit dan insurans
tertentu kepada setiap pemaju.
``Setidak-tidaknya nasib pembeli akan terbela jika sesebuah projek
terbengkalai dan insurans itu mungkin dapat digunakan oleh pemaju untuk
meneruskan projek mereka,'' katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas isu projek perumahan terbengkalai yang panas ketika ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca),
Mohd. Shaani Abdullah berkata, kerajaan perlu meminda akta tersebut dan
menjalankan pelaksanaan secara menyeluruh.
``Masalah sekarang, akta itu tidak dikuatkuasakan dengan sepenuhnya hingga
hak-hak pembeli terabai dan seringkali ia menyebelahi pihak pemaju sedangkan
pihak yang dirugikan ialah pembeli.
``Jadi paling baik ialah memperincikan syarat, bentuk hukuman serta semua
peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap pemaju bagi memastikan hak-hak
pembeli terjamin di bawah akta itu,'' katanya.
|