K'jaan Perkenalkan Sistem Pastikan Kepentingan Pembeli Rumah Terjaga
Bernama.com 12/08/2004KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan satu
sistem untuk memastikan permintaan untuk rumah masih lagi boleh
dipenuhi dan kepentingan para pembeli rumah terjaga, kata Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting.
"Kami masih lagi dalam proses percambahan fikiran dan melihat
bagaimana untuk mengadakan konsep atau dasar untuk menjayakan sistem
ini," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan
Perumahan dan Hartanah Negara di sini Khamis.
Ong berkata demikian apabila ditanya mengenai status konsep
beli-dan-jual rumah.
Dalam laporan awal, ada menyatakan yang kerajaan sedang mengkaji
kemungkinan supaya pemaju perumahan membina rumah dahulu sebelum
menjualnya.
Ong berkata beliau belum mengumumkan sebarang dasar lagi.
Menteri itu berkata beliau cuma menjelaskan kebimbangan perdana
menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana terdapatnya kes
berhubung projek-projek tergendala.
Ong berkata terdapat kes di mana pembeli-pembeli rumah yang telah
melabur simpanan mereka dalam hartanah mendapati pada pertengahan
jalan, projek itu tergendala.
Beliau berkata pembeli-pembeli rumah mesti dilindungi dan para
pemaju mesti bertanggungjawab.
Ong berkata perdana menteri mempersoalkan bagaimana para pemaju
boleh mengambil wang daripada pembeli rumah padahal rumah-rumah yang
dibeli masih belum siap.
Bagi menjaga kepentingan pembeli, Ong berkata kerajaan sedang
meninjau pelbagai idea dan konsep.
Beliau berkata perundangan selepas pindaan Akta Pemaju Perumahan,
yang berkuatkuasa sejak 1 Dis, 2002 sedikit sebanyak memberi kesan
dari segi perlindungan yang lebih baik untuk para pembeli rumah.
"Pada masa yang sama, kita masih lagi meneliti pindaan kepada akta
bagi menjadikannya lebih berkesan dan praktikal dalam beberapa
bidang.
Contohnya, pangsapuri perkhidmatan pada masa ini tidak dilindungi di
bawah Akta Pemaju Perumahan. Jadi, sekarang ini, kami sedang
berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk memasukkan pangsapuri
perkhidmatan ini di bawah akta ini bagi melindungi para pembeli,"
kata beliau.
-- BERNAMA |