Jangan tangguh laksana konsep bina
dan jual
UTUSAN MALAYSIA 30/08/2004
MASALAH projek perumahan terbengkalai sebenarnya tidak akan selesai
selagi konsep bina dan jual yang diarahkan oleh Perdana Menteri kita
tidak dilaksanakan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hendaklah
melaksanakan dasar ini agar masalah berkenaan dapat diatasi segera.
Sebenarnya terdapat beribu-ribu pembeli rumah yang berasa tertipu,
ternanti-nanti dan tertanya-tanya tentang langkah yang sepatutnya
diambil oleh KPKT. Apakah KPKT terus mahu menambah bilangan mereka yang tertipu? Apakah
seolah-olah KPKT mahu dilihat seperti bersekongkol dengan para
pemaju yang sebenarnya tidak mampu untuk membina rumah tetapi
menjanjikan sesuatu yang masih belum wujud? Apakah pihak KPKT tidak mempunyai peruntukan undang-undang
secukupnya untuk sekurang-kurangnya mengarahkan supaya wang
pendahuluan
dikembalikan sekiranya projek perumahan tidak dapat dijalankan?
Sebenarnya, orang yang tinggal di rumah setinggan lebih beruntung
kerana mereka sudah ada rumah sendiri atau dijanjikan mendapat rumah
lain
sekiranya mereka diarahkan berpindah nanti, berbanding dengan yang
terpaksa menyewa bilik atau rumah dan boleh diarahkan keluar oleh
tuan rumah
pada bila-bila masa. Mereka bagai menanti buah yang tidak gugur!
Pembeli-pembeli rumah terutamanya yang berpendapatan rendah dan
sederhana sebenarnya mengalami pengalaman yang lebih pahit
berbanding
dengan pengalaman Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor (Utusan
Malaysia, Jumaat 27 Ogos 2004). Dengan mengeluarkan wang pendahuluan sebanyak lima atau sepuluh ribu
ringgit merupakan satu keputusan yang dibuat setelah berfikir
berkali-kali. Lumayan
Perbandingannya cukup mudah. Bayangkanlah setelah membayar wang
sebanyak lima ribu ringgit, tiada apa-apa perkembangan berlaku
selama
empat atau lima tahun walhal jika wang tersebut terus disimpan
dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) sudah tentu akan membawa
pulangan yang
lumayan. Apatah lagi jika terpaksa menunggu selama berbelas-belas tahun!
KPKT hendaklah memastikan bahawa selepas ini tiada lagi rumah yang
dijual dahulu, ibarat menjual air liur dan menjual angin yang tidak
memerlukan
modal dan dibina kemudian yang belum tentu pula mutu dan
spesifikasinya. Dalam hal ini KPKT tidak perlu tunduk kepada para pemaju yang tidak
berkeupayaan membina rumah tetapi hanya berkeupayaan membuat iklan
yang muluk-muluk dan melantik syarikat lain untuk mempromosikan
jualan rumah yang diimpi-impikan. Rumah sangat perlu dan merupakan hak asasi rakyat. Pengalaman orang
yang berpendapatan rendah dan sederhana lebih parah berbanding
dengan
orang yang berpendapatan tinggi. Segala luka akan bernanah dan terpaksa dipendam tanpa diubati begitu
lama berbanding orang yang berwang yang boleh membeli rumah yang
lain. Orang yang berwang boleh membeli rumah secara tunai tetapi yang
berpendapatan rendah dan sederhana terpaksa berhutang selama 25
tahun atau
seumur hidup mereka. Bayangkanlah jika projek terus terbengkalai, masa membayar akan
menjadi lebih panjang dan kos-kos lain akan terus meningkat.
Pemaju perumahan yang tidak mampu haruslah bergabung bagi
melaksanakan konsep bina dan jual. Berhentilah daripada menganiaya
pengguna. Isu ini perlu diselesaikan. Masalah ini sudah lama berlaku dan
kerajaan dilihat seolah-olah tidak mampu berbuat apa-apa.
Jika pemaju swasta tidak mahu melaksanakannya, Syarikat Perumahan
Negara Berhad hendaklah mengambil-alih peranan ini.
Rakyat sudah muak dan sudah lama disakiti dan berduka-lara dan
rakyat hanya mahukan tempat berteduh walaupun dengan hanya memiliki
sebuah
rumah yang kecil. Selesaikanlah isu ini dengan segera dan jangan hanya dibincangkan
secara bermusim dan kemudian segala-galanya berlalu begitu sahaja.
RAKYAT KECEWA, Kajang, Selangor.
|