FOMCA terima 31,700 aduan
24/08/2004
UTUSAN MALAYSIAKUALA LUMPUR 23 Ogos - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima
31,700 aduan sepanjang tahun lalu melibatkan masalah perumahan terutama rumah
terbengkalai, pemaju lewat menyerahkan rumah dan kualiti rumah yang rendah.
Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, jumlah aduan yang
banyak itu menunjukkan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada pemaju
termasuk menguatkuasakan undang-undang supaya pengarah-pengarah syarikat dikenakan
hukuman.
"Sebelum ini kita telah meminta supaya pengarah-pengarah syarikat dikenakan
hukuman penjara dan bukan setakat disenarai hitamkan kerana kesalahan mereka
adalah besar iaitu 'menipu' pengguna yang telah melaburkan wang untuk membeli
rumah.
"Bukan setakat hukuman penjara, FOMCA juga meminta agar kerajaan mendedahkan
nama pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan mereka, namun cadangan itu
tidak mendapat sambutan daripada kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini, hari ini.
Muhammad Shaani mengulas surat pembaca yang disiarkan di muka depan Utusan
Malaysia hari ini mengenai keluhan seorang pembeli rumah yang telah membeli
rumah daripada Syarikat Lembah Beringin, anak syarikat Land & General di kawasan
Lembah Beringin.
Pembaca yang menamakan diri sebagai Penanti 7 Tahun itu merasakan dirinya
tertindas kerana rumah yang dibelinya masih belum siap dan berharap wang pendahuluan
rumah dan kos guaman ketika menandatangani perjanjian jual beli dulu dipulangkan.
Muhammad Shaani berkata, pengguna telah menyimpan wang untuk membuat pelaburan
seumur hidup namun mereka telah ditipu dan diperdayakan oleh pemaju.
"Di mana letaknya keadilan jika pengguna ditipu sedangkan pengarah syarikat
tidak diambil tindakan langsung dan ini sekali gus menunjukkan kelemahan penguatkuasaan,"
katanya.
Sementara itu, Exco Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Datuk
Mohd. Khalid Harun pula berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya
projek yang terbengkalai bukan diuruskan oleh ahli REHDA.
"REHDA menggalakkan ahli-ahli mempamerkan logo REHDA di papan tanda projek
untuk pengetahuan umum dan sekali gus memberi penjelasan kepada orang ramai
bahawa projek tersebut adalah dari ahli REHDA.
"Sekiranya projek perumahan itu terbengkalai atau terlewat, maka lebih senang
bagi pembeli menghubungi REHDA untuk mendapat bantuan," katanya.
Selain itu, katanya, untuk menyelesaikan kes pengguna dengan cepat, Tribunal
Perumahan harus ditubuhkan di seluruh negara kerana ketika ini kebanyakan kes
pengguna hanya diselesaikan di kawasan Lembah Klang.
|