600 penduduk tanggung beban
lapan tahun
30/08/2004 Utusan Oleh: RADZUAN
HASSAN.
TERBENGKALAI...NASRUL Hisham Nasri, 31, melihat keadaan rumahnya yang gagal
disiapkan sejak lapan tahun lalu di Taman Serosa, Kajang, Selangor, semalam.
- Gambar MOHD. NAIM AZIZ.
KAJANG 29 Ogos - Kira-kira 600 pembeli rumah Taman Serosa, di sini
terpaksa menanggung beban membayar pinjaman bank setiap bulan sedangkan
projek berkenaan terbengkalai sejak lapan tahun lepas.
Beban yang terpaksa ditanggung itu kini semakin teruk apabila pemaju
perumahan, Serosa Resources Sdn. Bhd., didapati sudah `gulung tikar' sejak
Februari lalu.
Wakil jawatankuasa pembeli rumah Taman Serosa, Hussin Samin, 37,
berkata, keadaan itu menyebabkan mereka seolah-olah `sudah jatuh, ditimpa
tangga' dan semakin tertekan bagi mencari jalan penyelesaian.
``Pemaju sudah muflis dan projek ini terbengkalai sekian lama tetapi kami
terpaksa membayar pinjaman kepada bank setiap bulan tanpa mendapat rumah
yang dijanjikan.
``Ini adalah rumah pertama saya dan akibat terbengkalai saya terpaksa
menyewa sehingga kini,'' ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi lawatan Ahli
Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon ke kawasan berkenaan di sini hari ini.
Projek Taman Serosa yang terletak di Batu 14 Jalan Cheras-Kajang itu
melibatkan 63 unit rumah teres dua tingkat bernilai RM160,000, 240 unit
rumah pangsa kos sederhana dan 110 unit rumah pangsa kos rendah yang
masing-masing ketika itu berharga RM55,000 dan RM25,000.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Sudir, 46, pula memberitahu, impiannya
bagi memiliki rumah sendiri `berkubur' apabila projek berkenaan terbengkalai.
``Saya beli rumah pangsa kos rendah di sini sejak 1996 lagi dan mereka
janji akan siap menjelang 1998 tetapi semua itu kini sudah hancur.
``Saya terpaksa membayar setiap bulan pinjaman bagi `hutan belukar'
sahaja,'' ujarnya.
Gara-gara projek terbengkalai, Razali Omar, 42, pula terpaksa
terus menetap di kawasan penempatan setinggan di Cheras Baru.
``Dulu semasa membeli rumah di sini pada 1996, saya berharap saya boleh
tinggal pada 1998 tetapi sehingga kini saya terpaksa tinggal di kawasan
setinggan kerana ia terbengkalai,'' katanya.
Masalah yang sama turut dihadapi Nasrol Hisham Nasri, 31, yang
membeli rumah teres di kawasan yang sama tetapi kini rumahnya itu sudah
dipenuhi dengan lalang dan belukar.
Sementara itu, Pian Hon berkata, pihaknya mengemukakan masalah yang sama
pada Kabinet, Jun lepas dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
telah mengklasifikasikan projek berkenaan sebagai kes Jabatan Insolvensi
Malaysia selepas pemaju terbabit sudah `gulung tikar'.
``Jabatan Insolvensi Malaysia akan mengambil alih masalah ini dan mereka
mungkin beri kepada pemaju lain untuk memulihkannya.
``Kementerian juga perlu beri alasan kenapa pemaju gagal menyiapkannya
seperti yang dijanjikan,'' katanya.
Beliau juga mencadangkan Bank Negara Malaysia mengadakan perbincangan
dengan semua bank dan institusi kewangan terbabit supaya memberhentikan
sementara bayaran bulanan daripada pembeli projek rumah terbengkalai. |