This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

 

286 pembeli setuju SPNB pulihkan projek rumah terbengkalai

30/08/2004 Utusan Malaysia

HULU SELANGOR 29 Ogos - Sebanyak 286 daripada 657 pembeli rumah di Lembah Beringin bersetuju dengan langkah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk memulihkan projek rumah kawasan itu yang terbengkalai sejak 1997.

Mereka berpendapat, langkah memulihkan empat fasa perumahan terbengkalai itu adalah tepat pada masanya walaupun mereka mengalami kerugian besar bagi membayar pinjaman bank dan sewaan rumah sejak tujuh tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembeli Rumah Lembah Beringin, G. Gevananthan, 44, berkata, beliau telah pun mendapat persetujuan sebahagian daripada pembeli rumah terbabit setelah mengadakan perbincangan dengan mereka baru-baru ini.

Jelasnya, kebanyakan pembeli kecewa dengan kegagalan pihak pemaju, Lembah Beringin Sdn. Bhd., (LBSB) menyiapkan projek itu, namun, langkah terbaik adalah dengan membenarkan SPNB memulihkan semula projek tersebut.

``Kami bukannya tidak mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap LBSB, sebaliknya kami mahu pelbagai cara alternatif dilaksanakan bagi mengurangkan kerugian pembeli selama ini.

``Jika kami saman pemaju sekalipun, mereka bukannya ada duit yang mencukupi untuk membayar segala kerugian yang telah kami tanggung selama ini,'' katanya ketika ditemui pada majlis penerangan dan menandatangani surat akujanji bagi pemulihan projek perumahan terbengkalai Lembah Beringin di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Operasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Kamaruddin Abd. Rashid dan Penolong Pengurus Besar Bahagian Pemulihan Projek SPNB, Mohd. Nor Abd. Razak.

Isu perumahan Lembah Beringin gagal disiapkan ini disiarkan melalui Surat Pembaca di muka satu Utusan Malaysia 23 Ogos lalu yang memaparkan pengalaman penulis menggelarkan dirinya sebagai Penanti 7 Tahun.

Penulis itu tidak berpuas hati dengan pihak pemaju LBSB yang gagal menyiapkan rumah berkenaan sejak 1997 iaitu ketika dia baru memperoleh anak kembar dan masalah itu terus berlarutan sehingga anak kembarnya berumur tujuh tahun kini.

Sementara itu, seorang pembeli rumah di situ, Kamarul Baharin, 34, berkata, dia amat bersetuju dengan langkah SPNB untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai itu kerana projek itu telah memberi kerugian besar kepadanya.

``Saya tidak akan membantah dengan langkah SPNB itu dan akan menyerahkan segala tindakan kepada jawatankuasa penduduk bagi mengurangkan bebanan yang dialami oleh kami selama ini,'' ujarnya.

Pembeli rumah, Adlee Mustafa, 38, berkata dia dan segelintir pembeli rumah yang lain masih mempertimbangkan langkah SPNB untuk memulihkan projek tersebut.

``Saya masih mahu wang ganti rugi RM40,000 yang saya alami selama tujuh tahun lalu ekoran terpaksa membayar wang ansuran dan pinjaman kepada bank,'' ujarnya.

Pembeli rumah, Nur Ain Abdullah, 35, berkata, dia dapati rumah yang dibelinya hanya separuh siap dan terbengkalai sejak 1998 lalu.

``Saya setuju jika SPNB menjalankan projek pemulihan berkenaan tetapi segala kemudahan asas seperti padang permainan, stesen minyak, jalan raya, lampu jalan dan pelbagai lagi perlu dilengkapkan juga,'' ujarnya.

Seorang lagi pembeli rumah, Julie P. L. Tan, 42, berkata, beliau amat berharap agar SPNB dapat menyiapkan projek terbengkalai itu dengan segera kerana sudah kecewa dengan pihak pemaju sebelum ini.

``Saya sudah rugi lebih dari RM100,000 setakat ini dan jumlah itu tidak termasuk bayaran rumah sewa dan pelbagai lagi.

``Selepas ini, saya mungkin ke Hong Kong untuk bertugas di luar negara selama beberapa tahun, apa yang saya harap, rumah itu akan siap sepenuhnya apabila saya kembali ke sini,'' katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.