Siapkan segera pangsapuri Gombak
Perdana Villa
15/07/2004
Utusan Malaysia
GOMBAK 14 Julai - Para pembeli pangsapuri Gombak Perdana Villa di sini
mendesak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memastikan pemaju
menyiapkan segera projek berkenaan.
lni kerana projek tersebut yang sepatutnya boleh
disiapkan pada hujung tahun lepas telah terbengkalai berikutan masalah
antara pemaju dan pemilik tanah.
Baru-baru ini, bertempat di tapak projek, para pembeli
telah mengadakan satu perjumpaan dengan pemilik tanah untuk membincangkan
masalah tersebut.
Juruanalisa sistem komputer, Abd. Rahman Dahalan, 39,
berkata, dia telah empat tahun menanti projek tersebut siap sampai
sekarang tetapi masih tidak kesampaian.
"Saya terpaksa menyewa di tempat lain dan sudah hampir
dua tahun, saya terpaksa membayar balik pinjaman bank RMl,325 sebulan,"
katanya.
Pembinaan
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, 50 peratus daripada
kerja-kerja pembinaan pangsapuri Gombak Perdana Villa masih belum
disiapkan.
Ia merupakan projek usahasama di antara pemilik tanah dengan sebuah
syarikat pemaju perumahan untuk membina tiga blok pangsapuri setinggi
sembilan dan 10 tingkat.
la terdiri daripada 70 unit pangsapuri jenis A, 114 unit
pangsapuri jenis B, empat unit kedai dan empat unit penthouse di atas
tanah seluas 1.737 hektar.
Pengurus Projek Pertiwi Prestij Sdn. Bhd. Mohd.
Shahripoddin Abd. Rahman, 47, berkata, 75 peratus pembeli menyokong hasrat
pemilik tanah untuk mengambil alih projek daripada pemaju.
"Apabila pemaju gagal menyiapkan projek mengikut
perjanjian, pemilik tanah berhak mengambil alih kerja-kerja pembinaan
daripada pemaju asal," katanya.
Suri rumah, Norazlina Mat Salleh, 39, yang membeli satu unit pangsapuri
berharga RM158,888, turut kecewa dengan masalah projek perumahan yang
terbengkalai.
"Saya sedih dan amat kecewa melihat projek ini yang
sekejap jalan sekejap tidak. Saya sudah habis RM10,000 untuk membayar wang
pendahuluan," katanya.
Jurutera, Mohd. Masri Shiyuti, 36, mengakui, amat
dukacita kerana sikap pemaju yang seolah-olah lepas tangan.
"Saya berharap projek ini disiapkan juga kerana tuan
tanah sudah bersetuju untuk mengambil alih projek ini daripada pemaju asal,"
katanya.
Mohd. Azlan Abd. Aziz, 47, yang juga jurutera berkata,
sudah sampai masanya masalah projek Gombak Perdana Villa diberikan
perhatian oleh pihak berkuasa tempatan.
"Biarlah pemilik tanah dan Pertiwi Prestij menyudahkan
projek ini kerana pembeli sudah terlalu lama menunggu untuk menduduki
rumah sendiri," katanya. |