This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Selesaikan segera masalah rumah retak Taman Puchong Intan

UTUSAN MALAYSIA 05/07/2004

Saudara Pengarang,

SEBENARNYA dari peringkat awal, saya tidak berniat untuk membawa masalah kami kepada perhatian media. Saya juga sama sekali tidak berhasrat mencari penyelesaian dengan menggunakan ruangan ini. Malah, pendirian ini pernah saya jelaskan kepada pihak berkuasa tempatan kawasan kami, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan juga pemaju Taman Puchong Intan, Puchong sebelum ini.

Tetapi, saya yang mewakili pengadu masalah rumah retak Fasa Ketiga Taman Puchong Intan, merasakan penantian dua tahun untuk melihat satu penyelesaian menyeluruh dan suasana menang-menang tidak berhasil sehingga kini.

Kini kami tiada pilihan lain. Kami terus menanti pertemuan susulan selepas yang terakhir diadakan pada penghujung bulan Julai 2003.

Mungkin juga tidak adil untuk mengatakan bahawa MPSJ tidak membantu langsung. Tindakan awal memang ada tetapi jika dirumuskan, "ia tidak serius".

Pada Julai 2002, aduan masalah 10 buah rumah retak di sepanjang Jalan Intan 3/1 dibawa kepada perhatian MPSJ. Pegawai Bahagian Bangunan datang untuk pemeriksaan, tetapi apabila dihubungi beberapa kali, akhirnya pada bulan Oktober, fail berkaitan dikatakan telah hilang.

Usaha diteruskan dengan merujuk Bahagian Kejuruteraan pula. Saya gembira kerana Pengarahnya mengambil berat dan sudi mengunjungi rumah kami penghujung 2002 dan awal tahun 2003 satu pertemuan tiga pihak diadakan di MPSJ, yang antara lain memutuskan pemaju mengambil tindakan segera memperbaiki kerosakan memandangkan rumah-rumah di fasa ini juga belum menerima Sijil Layak Dihuni (CF) meskipun siap awal 1998. Kerja-kerja baik pulih sepatutnya selesai menjelang Mac 2003. Tetapi tiada sebarang perkembangan.

Pemaju mengambil sikap acuh tidak acuh. Pertemuan sepatutnya diadakan bulan April 2003 tetapi ditunda ke bulan berikutnya. Pemaju sekali lagi diberi arahan supaya bertindak. Proses yang sama, tetapi tidak ke mana pun. Selepas desakan dan rayuan susulan, diadakan satu pertemuan bulan Julai 2003.

Kali ini jurutera bebas yang dilantik diberi tempoh empat bulan untuk menyiapkan kajian masalah keretakan manakala Pengarah Bahagian Kejuruteraan memutuskan diadakan mesyuarat setiap bulan untuk memastikan tindakan yang diputuskan dilaksanakan.

Pada mulanya saya khuatir sama ada boleh diadakan pertemuan bulanan. Kekhuatiran itu menjadi kenyataan. Kami bukan sahaja tidak mengetahui hasil kajian jurutera bebas, malah tiada pertemuan susulan sehingga ke hari ini.

Selain saya sebagai wakil pengadu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puchong Intan sering menghubungi MPSJ untuk mengetahui hasil tindakan yang diputuskan, tetapi jawapan yang diterima "kami sibuk dengan kerja-kerja lain".

Kami faham beban kerja di MPSJ, tetapi tidak mungkin sepanjang 360 hari. Bulan Julai 2004 sudah tiba. Kami sebagai pembeli dan penghuni di kawasan pentadbiran MPSJ, hanya mengharapkan pihak berkuasa tempatan untuk membantu. Ke mana akan kami boleh pergi jika tidak MPSJ?

Sekurang-kurangnya jika pihak berkuasa tempatan, dalam hat ini MPSJ, tegas, saya pasti pemaju akan bertindak segera untuk menyelesaikan masalah keretakan.

Kami akan gembira jika masalah kami juga diberi perhatian sepenuhnya memandangkan masalah keretakan bertambah serius. Jangan tunggu sehingga kejadian tidak diingini berlaku, baru hendak bertindak. CF belum keluar, rumah sudah retak.

Harapan kami pada MPSJ satu sahaja: Bantulah kami, jangan kecewakan pembayar cukai.

WAKIL JAWATANKUASA PENGADU MASALAH RUMAh RETAK, Puchong, Selangor

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.