Rumah murah terbengkalai dijangka
siap akhir Disember
Berita Harian 8/6/2004
JASIN: Penantian lebih empat tahun pembeli rumah kos rendah Taman Nyalas
Permai dekat sini, untuk memiliki rumah masing-masing berakhir apabila
projek terbengkalai itu dijangka boleh didiami akhir tahun ini.
Dengan kerja pembinaan rumah awam itu yang kini dapat
peringkat akhir, iaitu kira-kira 10 peratus, pembeli yang sebelum ini
sudah membayar wang pendahuluan tidak akan mengalami kerugian seperti yang
disangka sebelum ini.
Malah, bagi mana-mana pembeli yang membatalkan keputusan
membeli rumah di situ tetapi sudah membuat bayaran wang pendahuluan
dijangka memperoleh wang terbabit oleh pemaju yang sedang menyiapkan rumah
kos rendah itu.
Pembeli rumah, Chin Teck Tiong, 50, berkata beliau
gembira kerana akhirnya rumah yang selama ini menghadapi pelbagai masalah
ketika pembinaannya sudah hampir siap selepas campur tangan kerajaan
negeri.
Katanya, beliau juga berhasrat membayar keseluruhan
harga rumah itu sebaik menerima kunci, kerana pembayaran yang dibuat
sebelum ini sudah melebihi 70 peratus.
Beliau berkata, sejak projek rumah itu terbengkalai,
ramai pembeli yang khuatir akan mengalami kerugian kerana kebanyakan
mereka sudah membuat bayaran pendahuluan selain bulanan.
"Saya lega apabila dimaklumkan oleh Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan
Pengangkutan negeri, Datuk Wira Poh Ah Tiam bahawa rumah itu boleh didiami
akhir Disember ini," katanya di sini.
Pembeli rumah, Chong Lam Moi, 48, berkata keprihatinan
kerajaan untuk meneruskan projek rumah awam di situ sangat baik kerana
dapat mengelakkan penduduk kerugian.
"Saya gembira kerana hasrat untuk memiliki rumah sebelum
ini akhirnya tercapai walaupun sebelum ini resah mengenangkan nasib kami
selepas projek ini terbengkalai," katanya.
Bagaimanapun, Chong berharap kerajaan negeri membantu
pembeli di situ yang terpaksa membayar harga rumah lebih RM5,000
berbanding harga asal yang ditawarkan.
Katanya, pada mulanya, pembeli ditawarkan harga adalah
RM39,900 seunit rumah tetapi kini pembeli terpaksa membayar RM45,000
dengan alasan harga barangan pembinaan meningkat dan pemaju terpaksa
menampung kos terbabit.
Sementara itu, Poh berkata, pihaknya akan memantau
projek perumahan itu dan yakin syarikat pemaju Wirama Jasa Sdn Bhd (WJSB)
dapat menyiapkan kerjanya seperti yang dijadualkan.
Katanya, sehingga kini, 50 unit rumah kos rendah di
taman perumahan itu belum terjual, manakala selebihnya sudah ditempah oleh
pembeli sejak tahun lalu.
"Saya difahamkan pemaju akan memohon sijil layak
menduduki (CF) bulan ini dan jika semua peraturan dipatuhi, Majlis Daerah
Jasin (MDJ) akan mengeluarkan CF secepat mungkin," katanya. |