Pulihkan
sekali projek rumah
Berita Harian 4/6/2004
LANGKAH Kementerian Wilayah Persekutuan melaksanakan semula 30 projek
komersial di Kuala Lumpur yang terbengkalai sejak kegawatan ekonomi 1997
sudah pasti mengubah wajah persekitaran bangunan terbabit.
Paling nyata
adalah projek Kompleks Plaza Rakyat yang sepatutnya sudah lama mengambil
alih peranan Puduraya sebagai terminal utama bas ekspres di ibu negara.
Antara projek dikenal pasti untuk dipulihkan adalah yang diusahakan bersama
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Menterinya, Tan Sri Mohd Isa Samad
memberitahu satu mekanisme dicari bagi menyelesaikan masalah itu yang
mencacatkan pemandangan dan mungkin menjejas sedikit imej ibu kota.
Perlunya langkah itu diambil tidaklah dipertikai tetapi selain memulihkan
projek sebanyak itu, apa kata kerajaan memberi lebih banyak tumpuan membantu
menghidupkan semula projek perumahan termasuk di pinggir dan beberapa
bahagian Kuala Lumpur yang turut terbengkalai. pemaju terbabit tentunya
memberikan pelbagai alasan kerana gagal menyiapkan projek perumahan
berkenaan tetapi yang menanggung beban dan terhimpit adalah pembeli yang
terpaksa terus menyewa dan membayar hutang bank. Setelah pemaju mengaut
keuntungan sambil gulung tikar, nampaknya kerajaan sajalah harapan pembeli
baik bagi projek perumahan atau bangunan komersial itu.
|