P.Pinang Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik
Bernama.com 21/6/2004 Oleh Noor Hammad Wariman
PULAU PINANG, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memberi
tumpuan untuk membina lebih banyak projek perumahan mampu milik di
Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Timur Laut (DTL) bagi memenuhi
keperluan penduduk yang berpendapatan rendah di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata
pembangunan pesat di kedua-dua kawasan itu menyebabkan jumlah projek
perumahan yang disediakan di kawasan berkenaan masih tidak mencukupi.
Katanya bilangan pemohon yang menunggu untuk mendapatkan rumah
berkenaan masih ramai dan usaha perlu dibuat bagi menangani masalah
itu.
Berikutan itu, kerajaan negeri akan memperkenalkan konsep pembinaan
rumah kos rendah untuk dijual dan disewa sebagai langkah membantu
penduduk yang memerlukan perumahan.
Abdul Rashid berkata kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa
tapak yang sesuai bagi projek perumahan untuk disewa iaitu di Desa
Wawasan, Bukit Mertajam, Jalan Tambi Kecil, Butterworth, Jalan
Sungai, Jelutong dan Jalan Zainal Abidin di Daerah Timur Laut.
Projek rumah kos rendah yang dibina untuk dijual pula ialah di
Kampung Besar dan Padang Cempedak di SPU.
Katanya, mereka yang berpendapatan rendah boleh menyewa rumah-rumah
yang dibina oleh kerajaan ini untuk tempoh tertentu sementara
mengumpul modal untuk membeli rumah sendiri.
PROJEK TIDAK MENARIK MINAT
Abdul Rashid juga tidak menolak kemungkinan ada projek rumah kos
rendah yang tidak menarik minat untuk dibeli oleh golongan
berpendapatan rendah berikutan lokasi dan jenis rumah yang
ditawarkan.
"Golongan ini tidak akan membeli rumah pangsa atau flat selain
memastikan lokasi projek tidak jauh dari kawasan kampung atau tempat
mereka bekerja," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan Negeri, Syed Amerruddin Syed Ahmad, bagaimanapun berkata
agak sukar untuk menyatakan secara tepat sama ada projek perumahan
terutamanya kos rendah di negeri ini mencukupi ataupun sebaliknya.
Apa yang jelas, penawaran perumahan itu banyak sehingga pembeli
boleh "memilih" rumah dan lokasi yang dianggap sesuai untuk mereka.
Katanya, kekurangan rumah mungkin berlaku di sesetengah kawasan
sahaja manakala di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) didapati
penawarannya agak berlebihan kerana kurang pembeli memilih kawasan
itu.
"Mungkin rumah di situ terlalu jauh dari tempat kerja, pengangkutan
susah, sekolah pun agak jauh dan kesemua faktor ini menyumbang
kepada mengapa pembeli tidak memilih kawasan SPS walaupun di situ
masih terdapat tanah yang luas untuk tujuan pembangunan," katanya.
PENEKANAN KEPADA KUALITI
Dalam pada memastikan perumahan mencukupi untuk keperluan rakyat,
katanya, kerajaan negeri juga menitikberatkan soal mutu rumah yang
dibina.
Setakat ini, beliau tidak berpuas hati dengan kualiti kebanyakan
projek perumahan dan pembeli bergantung 100 peratus kepada pemaju
untuk menyediakan rumah yang elok untuk mereka.
"Apa yang menjadi masalah kini ialah pemaju mendapatkan lesen untuk
memajukan kawasan perumahan dan menjual tapak kepada pembeli tanpa
membina rumah terlebih dahulu," katanya.
Menurutnya banyak masalah akan timbul terutama dari segi pemberian
sijil pemilikan (OC) jika rumah yang dibina tidak mempunyai kualiti
yang baik dan tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Katanya, dalam menyediakan perumahan untuk rakyat, kerajaan negeri
bukan sekadar mahu rumah yang mencukupi malahan selesa untuk
pemiliknya.
Syed Amerruddin berkata kerajaan negeri juga berusaha memulihkan
semula projek-projek terbengkalai di negeri ini.
PEMULIHAN PROJEK TERBENGKALAI
Katanya, lima daripada 17 projek perumahan yang terbengkalai di
Pulau Pinang sehingga akhir 2003 telah siap sepenuhnya dan mendapat
sijil layak menduduki bangunan itu (CF).
Projek-projek itu ialah Pangsapuri Widuri, projek Kuala Muda dan
projek Ekor Kuching di Seberang Prai Utara, projek Sungai Duri di
Seberang Prai Selatan (SPS) dan projek Villa Mas Evani di DTL.
Baki 12 lagi projek perumahan yang terbengkalai juga terus mendapat
perhatian kerajaan negeri termasuk projek Majestic Height di DTL dan
Taman Pekatra di SPS yang sudah siap dan memperoleh CF Fasa 1
manakala fasa lain masih dalam rundingan.
Beliau berkata, projek Taman Desa Widuri di Daerah Barat Daya kini
dalam proses mendapat CF manakala projek Taman Sri Semarak dan
Feetes Villa di DTL pula sudah diambilalih pemaju lain.
Dua lagi projek iaitu Taman Hijau di Barat Daya dan Taman Penaga
Jaya di SPU kini sedang dipulihkan pemaju asal manakala tiga lagi
projek iaitu Taman Seri Bayu (Barat Daya), Taman Sejahtera (SPU) dan
Taman Widuri SPS diambilalih Syarikat Perumahan Negara Berhad dan
dijadual bermula pada bulan bulan ini atau pun bulan depan.
Dua lagi projek iaitu Taman Cemerlang di DTL dan Taman Malwira di
Seberang Prai Tengah (SPT) masih dalam rundingan.
UNIT YANG BELUM DIJUAL
Setakat ini, katanya, terdapat 108 unit perumahan yang belum dijual,
masing-masing melibatkan empat projek di SPT dan SPS.
Katanya antara sebab perkara itu terjadi kerana ramai pembeli tidak
mahu membeli unit di tingkat atas (rumah pangsa) dan sebahagiannya
disimpan untuk setinggan.
Syed Amerruddin berkata hasil pemantauan Bahagian Perumahan sejak
1994 menunjukkan terdapat 92 projek, yang mengandungi 36,029 unit
rumah kos rendah (LC) dan 32 projek (11,743) rumah kos sederhana
rendah (LMC) yang telah dibangunkan oleh pemaju swasta di negeri ini.
Selain swasta, banyak pihak membantu membangunkan perumahan di Pulau
Pinang antaranya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Perbadanan
Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau
Pinang (Perda).
Syed Amerruddin berkata bagi projek perumahan PPRT, terdapat program
bantuan rumah khusus untuk membina rumah baru dengan kos tidak
melebihi RM12,370 sebuah dan membaiki rumah dengan kos tidak
melebihi RM5,190 sebuah yang disediakan oleh Perda di Bukit Tengah,
Bukit Minyak dan Juru.
Kerajaan negeri juga telah mengeluarkan surat tawaran pada 8 Mac
2004 kepada pemaju untuk melaksanakan projek pembangunan semula
perumahan di kawasan Gat Lebuh Noordin yang terjejas akibat
kebakaran, secara penswastaan.
Pelaksanaan projek itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat
dengan 51 keluarga mangsa kebakaran yang terlibat, rumah kos rendah
bersaiz 650 kaki persegi disediakan dan dijangka siap dalam tempoh
36 bulan.
Bagi keluarga lain yang sedang menetap di atas tapak berkenaan,
rumah mereka dijangka siap dalam tempoh 48 hingga 50 bulan.
Sementara itu, Perda turut memainkan peranan menyediakan kemudahan
tempat tinggal kepada golongan termiskin di negeri ini.
Ia dilaksanakan melalui satu kaedah di mana kemudahan asas dan
keperluan pembangunan manusia serta institusi disediakan secara
bersepadu sebagai satu model untuk pembangunan rakyat miskin.
Dengan terlaksananya semua projek perumahan yang dibangunkan oleh
pelbagai agensi, diharap keperluan perumahan penduduk Pulau Pinang
mencukupi tidak lama lagi.
-- BERNAMA
|