Pembeli rumah teraniaya patut tubuh jawatankuasa bertindak
01/06/2004
Utusan Malaysia
Saudara Pengarang,
SAYA seorang bekas
kakitangan kerajaan yang pernah bertugas di Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selama lima tahun dalam tahun 80-an.
Saya pernah
bertugas di Bahagian Pelaksanaan Projek, Jabatan Perumahan Negara
dan di Bahagian Pengawasan dan Penguatkuasaan di bawah kementerian
berkenaan.
Saya juga pernah
memegang jawatan sebagai pengurus besar merangkap pengurus projek
dengan sebuah syarikat pemaju perumahan swasta usaha sama dengan
sebuah yayasan kerajaan negeri selama dua tahun.
Projek tersebut
bernilai RM30 juta dan telah terbengkalai disebabkan lembaga
pengarah tidak prihatin dan mengabaikan tanggungjawab mengenai
perbelanjaan kewangan.
Saya ingin menasihatkan kepada para pembeli yang terlibat dan
teraniaya elakkan daripada menyaman pemaju ke mahkamah.
Mengikut pengalaman saya dalam dua alam pekerjaan yang telah saya
lalui, jika pemaju kalah, pembeli akan menang dalam erti kata, "menang
menjadi arang dan kalah menjadi abu'. Diharap pembaca mengerti
maksud tersebut.
Pemaju sebenarnya tidak menghadapi masalah kewangan, kerana bayaran
kemajuan yang dikeluarkan oleh pihak pemberi pinjaman yang diambil
oleh pembeli adalah mencukupi, tetapi sikap pemaju di mana lembaga
pengarahnya tidak menggunakan wang tersebut sepenuhnya untuk
menyiapkan projek, sebaliknya untuk tujuan lain.
Saya sebagai seorang pengurus besar merangkap pengurus projek
berpengalaman dalam perkara ini dan pernah bertelagah dengan lembaga
pengarah kepada pemaju berkenaan, akhirnya projek terbengkalai.
Selepas saya dipecat dari jawatan di KPKT, saya telah menasihatkan
para pembeli yang terlibat supaya jangan membawa perkara ini ke
mahkamah.
Saya menjelaskan kepada pembeli supaya bersatu dan menubuhkan satu
jawatankuasa bertindak di kalangan pembeli dan mengambil alih projek
tersebut dengan tindakan memecat pemaju.
Campur tangan
Akhirnya dengan ada jawatankuasa bertindak di kalangan pembeli di
samping campur tangan pihak KPKT, projek tersebut dapat disiapkan
dengan bantuan kewangan dari pihak TPU (Tabung Pembangunan Usahawan)
dan kini kesemua 830 unit rumah teres terbabit sudah dapat diduduki.
Ceritanya panjang bermula daripada perjalanannya sehingga berjaya.
Saya menegah pembeli supaya jangan membawa pemaju ke mahkamah kerana
kalau pemaju dijatuhkan hukuman muflis ,keputusan mahkamah adalah
muktamat.
Projek terbengkalai tersebut akan diletakkan di bawah Jabatan
Pemegang Harta, maka pembeli akan hilang segala-galanya dan masalah
menjadi bertambah rumit kerana pinjaman terpaksa dibayar balik,
projek perumahan sudah tidak wujud lagi.
Buat masa ini sekiranya pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak di
mana pihak KPKT menjadi perantaraan, ada kemungkinan Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) boleh membantu dari segi pengurusan,
teknikal dan kewangan.
Saya optimis kerana pihak KPKT boleh meneruskan di mana mereka
pernah berpengalaman dalam membantu jawatankuasa bertindak
menyiapkan projek terbengkalai sebelum ini. Tanyalah menterinya
kerana dalam rekod mereka terdapat kes seperti ini.
|
|
|