Pembeli rugi pemaju, kontraktor terus berbalah
Berita
Harian 2/6/2004
SAYA antara pembeli rumah Taman Koperasi Guru, Tanah Liat, Bukit
Mertajam dan ahli Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat
Berhad, amat kecewa dan terkilan melihat projek itu yang
terbengkalai.
Atap rumah bocor dan keseluruhan pembinaannya pada hemat saya tidak
menampakkan ia projek perumahan kos sederhana yang bernilai lebih
RM100,000.
Bayangkan rumah yang dibina sejak 2001 belum disiapkan sehingga kini.
Pemaju giat menukar kontraktor untuk menyiapkan projek perumahan itu.
Apabila saya hubungi koperasi selaku pemaju, mereka berjanji rumah
dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan sebaik saja kontraktor utama
menyelesaikan kerjanya.
Namun, projek itu tetap begitu juga dan pembeli belum dapat
mendiaminya sedangkan pemaju serta kontraktor sering memberi alasan
yang berlainan.
Apabila ditanya satu pihak, kami diberitahu bayaran belum
diselesaikan menyebabkan projek tertangguh tetapi pihak yang membuat
bayaran berkata wang sudah dilunaskan.
Kedua-dua pihak saling menuduh sedangkan yang menjadi mangsa ialah
pembeli.
Saya bernasib baik kerana membuat pinjaman perumahan melalui
kerajaan dan bayaran pinjaman tidak dipotong berbanding rakan yang
membuat pinjaman bank yang terus dikehendaki membuat bayaran
walaupun rumah belum siap.
Kalau ikutkan hati ingin saya mahu membatalkan pembelian rumah
daripada koperasi itu kerana gagal menyiapkannya mengikut perjanjian.
Namun apakan daya kerana jika saya membatalkan pembelian, pinjaman
seterusnya dengan kerajaan dibekukan buat sementara.
Saya selaku pembeli mengesyorkan kepada kerajaan supaya setiap
pemaju yang ingin membina rumah disyaratkan memiliki peruntukan dan
modal kukuh dan tidak mengharapkan peruntukan kerajaan saja.
Saya berharap kerajaan dan syarikat perumahan membantu kami
menyelesaikan masalah ini demi kebaikan semua pihak.
AHLI KECEWA,
Bukit Mertajam, Pulau Pinang. |