This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

5 tahun tunggu projek Green View belum siap
BERITA HARIAN 22/06/2004

PORT DICKSON: Hasrat lebih 320 pembeli rumah di kawasan Taman Perumahan Green View, Pasir Panjang, dekat sini untuk mendiami rumah mereka tidak kesampaian apabila rumah yang dijangka siap pada lima tahun lalu masih terbengkalai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Zaharuddin Yusuf, berkata mereka membeli rumah daripada pemaju yang dimiliki oleh Sridhaya Holding Sdn Bhd dan dibangunkan oleh Eurodec Development & Construction.

Katanya, apa yang lebih mendukacitakan mereka adalah sikap pemaju yang beberapa kali berjanji akan menyiapkan projek itu tetapi hingga sekarang masih gagal menunaikan janji itu.

"Dalam surat perjanjian jual beli, pemaju berjanji menyiapkan rumah pada akhir 1999 secara berperingkat hingga ke 2002.

"Bagaimanapun, nasib kami sungguh malang kerana sehingga kini rumah berkenaan masih terbengkalai dan ditinggalkan dalam keadaan semak samun dan berhutan.

"Kami sudah banyak kali berjumpa wakil pemaju yang berpejabat di pejabat tapak Green View Resort Home, Telok Pelandok, dan Pasir Panjang.

"Mereka berulang kali berjanji nak siapkan tapi janji tinggal janji.

"Kami sudah tidak dapat bersabar lagi, lagipun sebahagian daripada
pembeli yang membuat pinjaman kerajaan sudah pun membayar kepada pemaju, sedangkan rumah belum juga siap.

"Terdapat juga beberapa pembeli yang menerima surat amaran dari bank yang menyatakan akan menyenarai hitamkan nama mereka untuk sebarang pinjaman di masa akan datang," katanya.

Zaharuddin yang kesal meminta pemaju supaya lebih bertanggung jawab dan memahami kesusahan pembeli kerana sebahagian besar pembeli adalah dari golongan berpendapatan sederhana.

"Kami terpaksa menyewa rumah lain sedangkan kerajaan atau bank sudah memotong gaji kami sejak lima tahun lalu," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pemaju yang terbabit.

"Sikap pemaju ini sekali gus membebankan kehidupan kami yang mempunyai anak masih bersekolah juga dengan taraf hidup yang semakin tinggi masa ini," katanya.

Zaharuddin berkata, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak berharap pembeli di taman perumahan itu dapat menghubungi beliau bagi bersama menyelesaikan masalah ini di talian 019-2025774.

Kawasan perumahan berkenaan yang terletak dalam kawasan Ahli Parlimen Telok Kemang, S Sothinathan yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli dan kawasan itu berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Linggi.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.