22 pemaju perumahan gagal siap
projek disenaraihitam
Utusan.com.my 08/06/2004
KUALA LUMPUR 7 Jun - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
menyenaraihitamkan sebanyak 22 pemaju perumahan kerana gagal
menyiapkan projek perumahan dan mengingkari Akta Pemaju Perumahan.
Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, pemaju perumahan
terbabit disenaraihitamkan kerana kementeriannya menerima banyak
laporan daripada pembeli-pembeli rumah atas kegagalan menyiapkan
rumah.
``Kementerian telah menangguhkan kelulusan lesen pemaju perumahan
kepada 29 buah syarikat untuk menyiasat lebih lanjut keupayaan dari
segi modal dan pengalaman melaksanakan projek,'' katanya kepada
pemberita di lobi parlimen di sini, hari ini.
Terdahulu ketika menjawab soalan Senator Ismail Kasim mengenai
pemaju perumahan yang telah disenarai hitam, Ka Ting memberitahu,
jika pemaju perumahan terbabit telah dikenakan tindakan seumpama itu
bermakna pemaju tidak dibenarkan menggunakan nama syarikat lain
untuk mendapatkan lesen membina projek perumahan.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yaakob Mohammed mengenai
pandangan tentang cadangan supaya pemaju tidak dibenarkan menjual
rumah yang masih belum mendapat Sijil Layak Menduduki (CF), Ka Ting
berkata:
``Selepas pindaan ke atas Akta Pemaju Perumahan dilakukan, pemaju
tidak boleh menyerahkan kunci kepada pembeli rumah sekiranya bekalan
air atau elektrik tidak disambungkan ke kawasan perumahan tersebut.''
Menurutnya, pemaju hanya boleh menyerahkan kunci sekiranya semua
pihak yang terlibat dengan bahagian teknikal berpuas hati terhadap
rumah yang telah siap dibina itu. |