Syarat baru rumah dikaji -
Abdullah: Projek perlu disiapkan dahulu sebelum dijual
22/05/2004 Utusan
KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan bersedia mengkaji kemungkinan
mensyaratkan pemaju perumahan menyiapkan rumah mereka terlebih
dahulu sebelum menjualnya kepada pembeli.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, adalah
tidak wajar jika pemaju meminta wang daripada pembeli ketika baru di
peringkat kerja-kerja tanah.
Katanya, cara yang diamalkan oleh pemaju sekarang iaitu ``jual dulu,
bina kemudian'' sebenarnya menggunakan wang orang ramai untuk
membina projek perumahan mereka.
``Saya fikir tidak betul untuk membayar dahulu duit untuk membeli
rumah (yang belum siap) bagi mendapatkan rumah itu.
``Sepatutnya, selepas mereka membayarnya terus mendapat rumah,''
tegasnya.
Abdullah memberitahu demikian kepada pemberita selepas menyampaikan
amanat pada majlis perhimpunan Hari Pekerja 2004 sektor awam di
Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Bukit Kiara, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abdullah meminta pemaju-pemaju perumahan mesti
mempunyai wang atau dana yang secukupnya sebelum melaksanakan
sesuatu projek.
``Janganlah (pemaju) mengharapkan untuk menjual dahulu rumah mereka
(yang belum siap) dan apabila dapat duit baru hendak membinanya.
``Masalahnya nanti, kalau rumah yang hendak dibina itu tidak habis
dijual dan tidak mendapat duit yang mencukupi, akhirnya rumah itu
tidak dapat dibina,'' katanya.
Abdullah mengulas mengenai aliran penjualan rumah di negara ini yang
dianggap membebankan pengguna.
Berbanding di negara-negara lain seperti Taiwan, rumah dikatakan
hanya dijual kepada orang ramai apabila ia siap dibina.
Mengikut prosedur pembelian rumah sekarang, pemaju akan mengutip
bayaran tertentu daripada pembeli berdasarkan kepada tahap kemajuan
sesuatu projek perumahan.
Lazimnya, pembayaran itu dibayar oleh institusi kewangan di mana
pembeli membuat pinjaman dan orang ramai perlu membayar faedahnya
kepada bank berkenaan sehingga rumah mereka siap untuk tempoh
sekurang-kurangnya tiga tahun.
Perdana Menteri menegaskan, apa yang membimbangkan kerajaan ialah
kepada mereka yang sudah membayar wangnya tetapi akhirnya tidak
dapat menduduki rumah yang dijanjikan itu.
Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan menetapkan peraturan tertentu
berhubung perkara itu, kata Abdullah, kerajaan bersedia
membincangkan hasrat kebanyakan rakyat agar mendapat jalan terbaik
untuk dilaksanakannya nanti.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan turut
memberi perhatian terhadap pembinaan rumah kos rendah.
Perdana Menteri yakin dengan penggunaan teknologi terkini rumah
jenis itu dapat dijual dengan harga yang lebih rendah daripada pada
masa-masa sebelum ini.
Di samping itu, kerajaan juga mahu memastikan penyediaan kemudahan
perumahan kepada kakitangan kerajaan sentiasa dapat diperbaiki dan
pertingkatkan mengikut kemampuan yang ada dari semasa-semasa.
``Isu sekarang bukan hanya mengenai elaun perumahan kepada
kakitangan kerajaan tetapi ke arah meningkatkan kemudahan perumahan
sedia ada,'' tambahnya.
|