Persatuan sambut baik
syarat baru jual rumah
24/05/2004 Utusan
KUALA LUMPUR 23 Mei - Beberapa buah persatuan
pengguna menyambut baik langkah kerajaan mahu mensyaratkan pemaju
perumahan menyiapkan rumah sebelum dijual kerana ia dapat
mengelakkan pembeli daripada teraniaya jika projek terbengkalai.
Menurut mereka, cadangan tersebut sebenarnya telah
lama diperjuangkan oleh semua persatuan pengguna dalam usaha
memastikan kepentingan pembeli terpelihara daripada sikap tidak
bertanggungjawab segelintir pemaju perumahan.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Yusoff
Ismail berkata, dengan sistem yang ada sekarang, pembeli rumah
terpaksa menanggung bayaran pinjaman bank walaupun rumah tidak siap
atau pemaju melarikan diri.
``Malah dalam masa yang sama mereka terpaksa
menyewa kerana rumah yang dibeli tidak boleh diduduki,'' katanya
kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam bahawa kerajaan bersedia mengkaji
kemungkinan mensyaratkan pemaju menyiapkan rumah dulu sebelum
menjualnya kepada orang ramai.
Perdana Menteri berkata, adalah tidak wajar jika
pemaju meminta wang daripada pembeli ketika projek perumahan baru di
peringkat pembersihan tapak.
Yusoff berkata, sehingga Januari lalu pihaknya
menerima hampir 300 aduan tentang kelewatan lima syarikat pemaju
perumahan di negeri ini menyiapkan rumah seperti mana yang
ditetapkan.
``Kami juga menerima aduan mengenai pemaju
perumahan yang menggunakan bahan binaan tidak berkualiti tetapi yang
menghairankan pihak berkuasa tempatan memberikan kelulusan sijil
layak menduduki,'' katanya.
Di SEREMBAN, Presiden Persatuan Pengguna
Negeri Sembilan, Khairuddin Yunus berkata, cadangan kerajaan itu
dapat memberikan keadilan kepada pembeli kerana selama ini sistem
beli dulu, bina kemudian lebih menguntungkan pemaju.
Beliau berkata, cadangan tersebut mampu
meningkatkan kecekapan pemaju bagi menyiapkan rumah dengan cepat dan
berkualiti kerana mereka tidak perlu menunggu pembayaran daripada
pembeli.
``Saya percaya mereka akan lebih bertanggungjawab
untuk menyiapkan dengan cepat kerana jika pembinaan gagal disiapkan
mengikut tempoh yang ditetapkan, mereka terpaksa menanggung kos
kenaikan faedah pinjaman bank,'' katanya.
Di KOTA BHARU, Presiden Persatuan Pengguna
Kelantan, Yusoff Ahmad menolak kenyataan Persatuan Pemaju Hartanah
dan Perumahan bahawa langkah kerajaan itu akan menyebabkan harga
rumah meningkat.
Kata beliau, peningkatan harga rumah tidak
sepatutnya berlaku kerana sebarang kenaikan adalah ditentukan oleh
permintaan dalam pasaran dan bukannya kerana faktor rumah telah siap.
Malah menurut beliau, keputusan untuk menggunakan
sistem yang menetapkan hanya rumah sudah siap dibina boleh dijual
kepada pembeli sepatutnya telah lama dilaksanakan.
``Selama ini pembeli sering menghadapi masalah
rumah lewat disiapkan, projek terbengkalai dan cepat rosak sedangkan
pemaju pula sering bertindak lepas tangan,'' katanya.
Menurutnya, sistem sedia ada juga didapati boleh
menyebabkan penyelewengan berlaku kerana pengguna terpaksa membuat
bayaran ansuran berdasarkan tahap kemajuan projek.
Jelasnya, ini kerana terdapat pemaju melakukan
penipuan dari segi tahap kemajuan projek bagi mendapatkan sumber
kewangan yang lebih.
``Akibatnya apabila tempoh projek tamat, pemaju
masih gagal menyerahkan rumah kepada pembeli,'' katanya.
|