Pembinaan pangsapuri Seksyen 5
disambung semula
14/05/2004 Berita Harian
SERI KEMBANGAN: Pembinaan bangunan komersial tiga tingkat dan pangsapuri 20
tingkat di Seksyen 5, Serdang Perdana, di sini yang terbengkalai sejak tiga
tahun lalu akan disambung semula.
Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata semua kerja pembinaan dan
membaik pulih bangunan berkenaan akan dikendalikan oleh pemaju yang sama,
Green Cresent Resources Sdn Bhd (GCR).
"Projek ini perlu disiapkan segera kerana pembeli yang menjadi mangsa
menanggung kerugian. Mereka tidak dapat mendudukinya, tetapi terus membayar
wang ansuran termasuk kadar faedah bank," katanya selepas lawatan ke tapak
projek bangunan komersial itu, kelmarin.
Yap berkata, untuk memastikan projek itu dilaksanakan semula, Pengurusan
Danaharta Nasional Berhad (Danaharta) melantik Prinsiptek Corporation Berhad
sebagai kontraktor yang bertanggungjawab menyelesaikan pembinaan yang
terbengkalai itu.
Pengarah Eksekutif Prinsiptek, Foo Chu Pak, berkata pihaknya akan menyiapkan
baki bangunan yang terbengkalai serta membina rumah kos rendah yang belum
dibina pemaju.
"Projek itu membabitkan pembinaan kedai dan pangsapuri kos sederhana di mana
proses pembinaan kedua-dua bangunan itu di peringkat 90 dan 30 peratus,"
katanya.
Foo berkata, secara keseluruhan kerja pembinaan projek dibahagikan kepada
tiga peringkat di mana peringkat pertama membabitkan kerja baik pulih kedai
pangsapuri yang dijangka siap sepenuhnya akhir September tahun depan.
"Pangsapuri kos sederhana dijangka siap pada Mac 2006, manakala projek rumah
kos rendah akan siap pada Mac 2007," katanya.
Keseluruhan projek itu membabitkan 1,575 unit yang mana 857 unit adalah
kedai apartmen dan selebihnya iaitu dua pangsapuri kos sederhana,
masing-masing membabitkan 192 unit dan 320 unit.
Kerja pembangunan projek dimulakan pada akhir 1998, namun terbengkalai dari
November 2001 sehingga kini disebabkan pemaju mengalami masalah dalaman.
Justeru, Danaharta mengambil alih pinjaman tidak berbayar dan melantik
pentadbir khas pada 1 April 2002.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Datuk Liew
Yuen Keong, berkata projek itu perlu disiapkan segera kerana pembeli sudah
membayar wang pendahuluan serta menandatangani surat perjanjian jual beli
(S&P).
|