Pembeli kecewa rumah belum dapat
CF
Berita Harian 11/5/2004
KAMI pembeli rumah teres dua tingkat di Taman Slim Indah Fasa 2, Tanjung
Malim, kecewa dengan sikap pemaju dan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM).
Walaupun rumah siap dua tahun lalu kami belum dapat
mendudukinya kerana majlis tidak mengeluarkan Sijil Menduduki atau CF.
Pada mulanya pemaju mengumumkan harga rumah itu adalah
RM130,000 untuk Bumiputera. Namun, selepas diselidik dan dimaklumkan
peguam, rumah itu kami dapati hanya bernilai RM120,000. Bermakna pembeli
Bumiputera tidak diberikan diskaun.
Selepas didesak berulang kali, pemaju meminta tokoh
politik campur tangan, namun kami tetap berkeras untuk mendapatkan hak
kami menyebabkan harganya diturunkan juga.
Pemaju gagal menukar status tanah lot kedai kepada lot
rumah kediaman. Ini menyebabkan MDTM tidak mengeluarkan CF.
Akhirnya Jabatan Tanah Negeri Perak meluluskan
permohonan pertukaran status tanah itu selepas pemaju mengikuti syarat
ditetapkan.
Berikutan itu pemaju memohon CF daripada MDTM. Kami
memohon kepada pemaju untuk menyerahkan kunci kepada pembeli tetapi pemaju
enggan.
Kami merayu MDTM segera mengeluarkan CF dan tidak
terlalu menimbulkan terlalu banyak kerenah birokrasi hingga membebankan
pembeli. |